Mulakan wakaf RM1: Pelaburan akhirat, bantu sekolah, hospital dan masjid di Selangor

19 Ogos 2025, 7:00 AM
Mulakan wakaf RM1: Pelaburan akhirat, bantu sekolah, hospital dan masjid di Selangor
Mulakan wakaf RM1: Pelaburan akhirat, bantu sekolah, hospital dan masjid di Selangor
Mulakan wakaf RM1: Pelaburan akhirat, bantu sekolah, hospital dan masjid di Selangor

SHAH ALAM, 19 OGOS: “Mulakan dengan seringgit, asalkan berterusan."

Itu pesanan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Anuar Hamzah Tohar yang menyeru masyarakat khususnya anak muda menjadikan wakaf sebagai amalan harian walaupun jumlahnya kecil.

“Kadang-kadang waktu muda kita rasa duit tak cukup, itulah masa terbaik untuk bersedekah. Lama-kelamaan, Allah akan gantikan dengan rezeki yang tidak disangka,” katanya dalam program Bicara Semasa bertajuk Pedulikah Aku Tentang Wakaf? terbitan Media Selangor.

Wakaf pelaburan yang dilupakan

Mengulas konsep wakaf, Anuar menyifatkannya sebagai ‘pelaburan akhirat’ yang sering dilupakan berbanding pelaburan duniawi.

“Untuk pelaburan duniawi, kita hanya nampak keuntungan 10 atau 20 peratus, tetapi wakaf adalah pelaburan yang akan memudahkan urusan kita di akhirat. Sama ada anak muda atau orang tua, jangan abaikan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor Anwar Hamzah Tohar di Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 18 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau menjelaskan, wakaf kini lebih mudah dilakukan kerana selain tanah dan bangunan, masyarakat boleh mewakafkan wang tunai atau harta alih seperti kenderaan.

“Kedua-duanya hanyalah pinjaman daripada Allah. Wakafkan harta yang paling kita sayang kerana itulah yang paling besar pahalanya,” tambahnya.

30 peratus dana bantu sekolah, hospital dan masjid

Tambah Anuar, 30 peratus daripada dana wakaf tunai disalurkan semula kepada institusi pendidikan, rumah ibadat dan hospital di Selangor.

Bantuan meliputi pembaikan bumbung sekolah, penggantian karpet masjid, sistem pembesar suara serta penyediaan televisyen pintar untuk pembelajaran.

“Hospital luar bandar turut menerima peralatan yang masih kurang bagi meningkatkan perkhidmatan kepada pesakit,” katanya.

Katanya, PWS telah berjaya membina lebih 100 masjid dan surau hasil sumbangan masyarakat walaupun bermula daripada kutipan serendah RM5 atau RM10 di kaunter wakaf.

“Sumbangan kecil ini akhirnya memberi impak besar kepada komuniti,” ujarnya.

Awas penipuan guna nama wakaf

Anuar turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama wakaf untuk mengaut keuntungan peribadi.

“Gambar saya sendiri pernah digunakan untuk mempromosikan pelaburan kononnya berkaitan wakaf, sedangkan ia penipuan (scam),” ujarnya.

Menurut beliau, mana-mana pihak yang didapati mengutip derma tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau PWS boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 45 Enakmen Wakaf Negeri Selangor yang memperuntukkan denda sehingga RM1,000 atau penjara.

“Rujuk dahulu kepada pihak berautoriti. Pastikan sumbangan kita benar-benar sampai kepada penerima dan menjadi jariah yang sah,” tegasnya.

Orang ramai yang ingin berwakaf boleh berbuat demikian melalui kaunter PWS di seluruh Selangor atau portal rasmi https://fpx.wakafselangor.gov.my / https://infaqpay.my/go/wakafselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619