KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Harimau Malaya bakal mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di dua venue berbeza bulan depan.
Skuad kendalian Peter Cklamovski akan memulakan kempen perlawanan persahabatan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini pada 4 September.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi skuad kebangsaan (Malaysia NT) hari ini, Malaysia kemudian akan melayan kunjungan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 September.
Kedua-dua perlawanan yang dijadual bermula 9 malam itu merupakan aksi penting buat Harimau Malaya menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos, Oktober ini.
Malaysia yang kini berada di ranking ke-125 dunia akan menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober diikuti pertembungan dengan Nepal pada 18 November bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 sebelum melengkapkan aksi Kumpulan F berdepan Vietnam pada 31 Mac tahun depan.
Pasukan negara kini mendahului kumpulan dengan enam mata, diikuti Vietnam dan Laos yang masing-masing mengutip tiga mata, manakala Nepal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
- BERNAMA