KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir menjurus kepada tiga elemen utama iaitu buli, pengabaian dan gangguan seksual, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, kertas siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) selepas polis selesai mengambil keterangan daripada 195 saksi.
“Saya tidak menolak, berdasarkan kesimpulan siasatan, memang wujud elemen buli. Justeru, tiada sebarang usaha atau percubaan menutup perkara ini boleh diterima kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita. Pentadbir sekolah juga perlu diingatkan agar setiap insiden dibawa ke perhatian pihak berwajib.
“Selain itu, terdapat elemen pengabaian kerana arwah pernah membuat aduan kepada pihak sekolah, dan perkara ini turut disiasat. Begitu juga dengan elemen gangguan seksual yang sedang diteliti,” katanya pada sesi penerangan menteri selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin Nasution berkata kini terpulang kepada AGC untuk menentukan hala tuju seterusnya, sama ada melakukan pertuduhan atau sebaliknya, selain memastikan prosiding inkues dilaksanakan sebagai platform terbaik untuk semua pihak membentangkan bukti secara telus dan terbuka.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada 4 pagi, 16 Julai.

Saifuddin Nasution berkata badan penguatkuasaan tidak 'menunggang’ kes berkenaan untuk melindungi siapa yang berpangkat, mempunyai gelaran dan kedudukan, sebaliknya fokus kepada mencari kebenaran serta keadilan dalam perkara itu.
Beliau berkata siasatan polis menyeluruh dan terperinci terhadap setiap dakwaan yang timbul dalam kes berkenaan termasuk penglibatan cucu kepada orang kenamaan, isteri timbalan menteri serta dakwaan Zara Qairina didera dalam mesin basuh.
“Siasatan polis tidak menemukan semua perkara yang disebut begitu. Tidak ada sama sekali setelah keterangan daripada 195 saksi yang kita ambil, tidak ada sama sekali,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata pada hari pertama kejadian, setiap tindakan yang diambil oleh polis, pihak sekolah dan pegawai perubatan berdasarkan maklumat semasa dan tindakan awal dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Beliau berkata isu ketidakpatuhan yang dilakukan oleh pegawai penyiasat polis dalam kes itu tidak sama sekali menjejaskan integriti siasatan, lebih-lebih lagi pasukan dari Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes berkenaan.
Sesi penerangan menteri itu kemudiannya dibahaskan oleh enam Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, iaitu Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bahru), Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu langat), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota), Syahredzan Johan (PH-Bangi) dan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar).
- BERNAMA