SHAH ALAM, 17 OGOS: Lebih 300 pelajar sekitar Kota Kemuning menyertai Seminar Pendidikan SPM Teras 2025 hari ini sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Program anjuran pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning itu memberi tumpuan kepada empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Sejarah.
ADN Kota Kemuning S Preakas berkata, seminar itu sebahagian usaha berterusan beliau dalam memperjuangkan pendidikan sebagai tonggak pembangunan masyarakat.
“Sebagai wakil rakyat, saya percaya pendidikan adalah kunci mobiliti sosial dan kemajuan komuniti.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan akademik, tetapi juga meningkatkan keyakinan pelajar untuk menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin dan berkesan,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendidikan kekal sebagai bidang yang diberi keutamaan sepanjang tempoh khidmatnya, dengan pelbagai inisiatif akan terus digerakkan bagi membantu pelajar di kawasan Kota Kemuning.
Seminar itu turut membariskan tenaga pengajar berpengalaman yang berkongsi teknik menjawab soalan, strategi pembelajaran berkesan serta tip persediaan peperiksaan.
Preakas berharap calon SPM 2025 bukan sahaja lebih bersedia menghadapi peperiksaan, tetapi juga lebih bersemangat untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik.