Tengku Permaisuri Selangor sempurnakan Istiadat Pentauliahan Kor SISPA

16 Ogos 2025, 10:04 AM
Tengku Permaisuri Selangor sempurnakan Istiadat Pentauliahan Kor SISPA

SHAH ALAM, 16 OGOS: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada 10.20 pagi disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed.

Dalam majlis bersejarah itu, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Pegawai Kadet SISPA Terbaik kepada 24 pegawai mewakili Institusi Pengajian Tinggi (IPT) masing-masinng dan satu anugerah khas iaitu Piala Ketua Pesuruhjaya Perdana (Best Among The Best).

Sebanyak 918 pelajar ditauliahkan berpangkat Leftenan Muda (Pertahanan Awam) pada majlis hari ini.

APM dalam kenyataan memaklumkan Kor SISPA yang diperkenalkan sebagai modul kokurikulum berstruktur sejak 2010 antara lain bertujuan memperkasakan pelajar sepanjang tempoh pengajian dengan ilmu dan latihan dalam bidang pertahanan awam.

Kor SISPA memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan yang berjiwa kesukarelawanan, mempunyai sifat kepimpinan serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dan bencana.

"Setelah menamatkan semua modul latihan ditetapkan, Pegawai Kadet SISPA yang layak, akan ditauliahkan kepada pangkat Leftenan Muda (PA) bagi pelajar Sarjana Muda, atau Staf Muda (PA) bagi pelajar Diploma," menurut kenyataan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619