ad

944 sekolah sertai lafaz ikrar Rukun Negara secara serentak

18 Ogos 2025, 1:00 AM
944 sekolah sertai lafaz ikrar Rukun Negara secara serentak

SHAH ALAM: 18 OGOS: Sebanyak 944 sekolah di seluruh Selangor menyertai bacaan ikrar Rukun Negara yang diadakan serentak sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2025 peringkat negeri, hari ini.

Lafaz ikrar itu diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi tayangan video yang dipancarkan secara langsung ke semua sekolah.

Program berkenaan melibatkan 282 sekolah menengah dan 662 sekolah rendah dengan penyertaan 980,668 murid, guru serta warga pendidik di seluruh negeri.

Terdahulu, menerusi amanat khas, Dato' Menteri Besar menyatakan bahawa penyertaan besar-besaran itu menjadi simbol kekuatan perpaduan dalam kepelbagaian yang wajar dipertahankan oleh seluruh rakyat.

"Rukun Negara bukan sekadar lima prinsip di atas kertas tetapi satu falsafah negara yang memperkukuhkan nilai-nilai bersama dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum."

"Ia mengajak kita semua supaya bersatu padu, menghormati undang-undang serta kepercayaan kepada Tuhan, mengangkat keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kesopanan serta tatasusila,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin turut memaklumkan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 peringkat Selangor akan diadakan pada 22 hingga 24 Ogos bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pandamaran B, Klang.

Sambutan itu dianjurkan Jawatan Kuasa Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.