SHAH ALAM, 16 OGOS: Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) menerima peruntukan RM1 juta bagi memperkasa usaha melahirkan masyarakat Islam yang celik dan mahir al-Quran.
Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu merangkumi pembangunan modul pembelajaran dan memperluas capaian pendidikan al-Quran di lima daerah terpilih iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam, Batang Kali, Sepang dan Gombak
“Dana ini akan digunakan untuk memperkukuh pengajaran, melatih guru-guru berkualiti, membangunkan modul inovatif. Insya-Allah pengajian al-Quran dapat dimanfaat oleh semua lapisan masyarakat.
“Kita tidak mahu ilmu al-Quran menjadi hak eksklusif segelintir masyarakat tetapi menjadi warisan bersama untuk seluruh rakyat Selangor, ” kata Dato’ Seri Amirudin Shari
Beliau berucap ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-23 Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) di Hotel Concorde, di sini hari ini.
Tambah Amirudin, Selangor meletakkan al-Quran sebagai tunjang pembinaan modal insan kerana kemakmuran negeri bukan hanya diukur dari pembangunan fizikal tetapi pada kesuburan akhlak, keteguhan akidah dan ketinggian ilmu yang diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pegawai tadbir agama daerah, nazir masjid serta pensyarah yang berganding bahu dalam pembangunan literasi al-Quran di negeri ini.
Dalam pada itu, seramai 829 graduan telah diraikan dalam majlis konvokesyen tersebut setelah mereka berjaya menamatkan pengajian di Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS).