SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) melaksanakan Operasi Waran di Bandar Rimbayu bagi mengesan pemilik premis yang memiliki tungggakan cukai taksiran.
MPKL memaklumkan, operasi dua hari bermula 12 Ogos itu mendapati 69 unit rumah terlibat dengan jumlah tunggakan keseluruhan RM82,531.17.
“Operasi ini membabitkan sembilan kakitangan Unit Hasil MPKL dan tiga anggota penguat kuasa. Tindakan ini dijalankan terhadap pemilik premis yang gagal melunaskan tunggakan cukai taksiran mengikut tempoh ditetapkan.
“Melalui pelaksanaan operasi ini, MPKL berjaya mengutip RM53,490.65 daripada jumlah tunggakan tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Sehubungan itu, MPKL menyeru semua pemilik premis melunaskan cukai taksiran mengikut jadual ditetapkan bagi mengelak tindakan undang-undang.
“Bayaran boleh dilakukan secara atas talian melalui laman sesawang rasmi MPKL atau di kaunter perkhidmatan pelanggan MPKL,” tambah kenyataan itu.