Oleh Nazmi Yaakub
“APAKAH ada wanita sempurna?”
Pertanyaan itu selalu menggelangsar dalam aliran fikir Kau meski ketak kelulinya cenderung negatif. Kau menemukan seribu raungan sang lelaki menafikannya. Ia semakin kuat sebaik tren perhubungan mereka mula meninggalkan stesen pertama. Kesempurnaan semakin ditinggalkan hingga mungkin di stesen terakhir, yang berbaki adalah percikan ingatan silam.
Kau cenderung menyetujui sangkaan itu hinggalah pada saat ini, pintu tren Kau naiki saban hari terbuka dan Kau memilih kerusi paling tengah, sebelum seorang wanita berdiri di depanmu sambil tangan subur-lentiknya memegang tiang penyangga.
Kau tak dapat menahan diri daripada menyeluruhi wanita itu. Rambutnya ikal mayang, jatuh tergeletak di bahu dan hitam pekat berubah keperang-perangan di hujung halusnya. Wajahnya cerah antara putih melepak pucat dengan sawo matang manis. Bulu matanya melentik, menjadikan pandangannya redup indah. Hidungnya mancung sederhana, sedangkan bibirnya ibarat kolam memberahikan. Ketika wanita itu tersenyum, lesung pipitnya bagai menusuk hati Kau.
Wanita itu mengenakan warna kegemaran Kau, merah darah menyalakan ghairah dari dalam diri. Dadanya, antara payudara labuh dengan sekeping papan teguh, sedangkan pinggangnya di pertengahan lilitan kerengga dengan perut tempayan. Sungguh kesederhanaan itulah memerangkap pandangan Kau, seolah-olah seluruh gerabak menjadi satu dan semua manusia tidak wujud kecuali wanita itu.
Ketak dalam aliran fikir Kau bergema: “Apakah ada wanita sempurna?”
Hanya sahaja Kau tidak akan mengetahuinya. Kau tak punya keberanian mencipta tanya, membiarkan wanita itu keluar daripada tren, sebelum Kau meneruskan perjalanan ke pejabat.
Di pejabat, pertanyaan itu mati ketika ahli politik menyerbu ke pejabat Kau, lalu menghempaskan akhbar di meja Kau.
“Apa ini? Ini hanya tuduhan musuh aku. Semua ini fitnah. Apakah agenda akhbar ini?” Jerkah ahli politik itu.
Kau arif berita memercikkan bara amarah itu. Kau yang mengarahkan wartawan melakukan berita penyiasatan, mengingatkan editor memastikan laporan tepat dan benar, sebelum memeriksanya pada proses akhir hingga kalau pun ada terkhilaf hanya tanda baca dan pemilihan kata gaya penerbit – itupun sudah Kau pastikan tiada.
“YB, apa disiarkan sudah ditimbang masak-masak dan diteliti segenap sudut. Malah, YB dan pejabat YB sudah diminta komen balas dengan kami memberikan tempoh cukup tapi YB sendiri enggan menjawabnya. Tentang agenda akhbar ini, kami tetap kekal sebagai kuasa dan tiang seri keempat demokrasi, sekaligus melakukan semak dan imbang kepada kerajaan, tanpa terkecuali,” tingkah Kau tenang sambil menolak akhbar ke depan ahli politik itu.
“Kau tahu siapa akukan? Kau tunggu panggilan Ofis Kepala Menteri!” Jari telunjuk ahli politik itu tertuding ke wajah Kau, sebelum keluar dan menghempas pintu kuat.
Dari kamar pengarang kumpulan berdinding kaca, Kau lihat semua mata editor, sub-editor dan wartawan di bilik berita terarah kepada Kau. Meski jauh, Kau kesani pandangan itu bersinar dengan penghormatan.
Ketika suasana kembali tenang, wartawan ripuh menyambung tugasan membuat panggilan telefon mendapatkan maklumat, editor sibuk menyaring dan menyunting berita dengan mata tajam serta sub-editor tekun melicinkan suntingan, sebelum memasukkan dalam rangka, ketak itu kembali mengalir dalam rel fikiran Kau: “Apakah ada wanita sempurna?”
Bayangan itu masih segar dengan kecantikan sempurna di mata Kau ketika dia mengeluarkan senaskhah buku daripada beg tangannya, membuka di tengah-tengahnya dan mengalih penanda buku ke bahagian belakang, lalu menekuninya hingga dia tidak tersentuh langsung dengan suasana di sekeliling.
Wanita itu tidak hanya memiliki kesempurnaan di seluruh tubuhnya, bahkan dia juga seorang pembaca ranum. Apa yang tinggal dalam fikiran Kau adalah “Ada wanita sempurna!”
Notifikasi telefon pintar Kau menenggelamkan persoalan dalam rel pemikiran Kau.
Kau meleretkan bar geser di skrin telefon pintar. Suara itu kau arifi juga, setiausaha politik kepada Kepala Menteri.
“Apa sudah berlaku?” YB bising-bising kepadaku. “Kononnya akhbar ada agenda peribadi!”
“YB, apa kami siarkan mengenai YB tersebut sudah ditimbang masak-masak dan diteliti segenap sudut. Malah, pejabatnya pun sudah diminta komen balas dengan tempoh secukupnya tapi beliau sendiri enggan menjawabnya. Tentang agenda akhbar ini, kami tetap kekal sebagai kuasa dan tiang seri keempat demokrasi, sekaligus melakukan semak dan imbang kepada kerajaan, tanpa terkecuali,” Kau ulangi semula kata-kata tadi, tentu dengan sedikit perubahan dan suara lebih lunak.
“Tapi YB dah terjah Kepala Menteri tadi... kau tahulah hubungan mereka rapat. Sekali siar sajalah. Tak perlu buat laporan susulan pula. Kill that story-lah,” balas lelaki itu, sedikit keras pada hujungnya.
“Maaf YB. Laporan kami ada kepentingan awam. Ini bukan soal menjatuhkan air muka sesiapa tapi susulan rungutan ramai. Lagipun Kepala Menteri sudah acap kali berikan lampu hijau, malah menggalakkan media melaksanakan tugas semak dan imbang,” Suara Kau sedikit keras.
Lelaki itu tidak upaya menewaskan keteguhan Kau. Dia tahu Kau bukanlah pengarang akhbar mudah lentur kerana Kau dididik untuk menjadi wartawan sempurna.
“Ah, sempurna,” keluh Kau, lalu teringat kepada wanita itu: “Wanita itu adalah sempurna!”
Kau melupakan sebentar wanita itu, keluar ke bilik berita, lalu mengarahkan editor, sub-editor dan wartawan meneruskan tanggungjawab menjadi mata kepala rakyat, membawa keluhan mereka, lalu membungkuskannya dalam laporan membela nasib mereka. Kau arahkan laporan susulan terus dibuat kepada YB tadi, selain menyelongkar kawasan YB lain.
Sesudah helaian terakhir dibuat pembetulan dan dihantar ke dalam sistem untuk dicetak, Kau terburu-buru ke stesen tren.
Demi pintu tren terbuka, Kau melihat wanita itu di tengah-tengah gerabak. Rambutnya ikal mayang, masih jatuh tergeletak di bahu dan hitam pekat berubah keperang-perangan di hujung halusnyanya. Wajahnya kekal cerah antara putih melepak pucat dengan sawo matang gelap. Bulu matanya terus melentik, pandangannya redup indah. Hidungnya mancung sederhana, sedangkan bibirnya ibarat kolam memberahikan.
Wanita itu memilih berdiri, sedangkan Kau duduk di kerusi kosong tepat di hadapannya. Tren bergerak menuju stesen terakhir, Kau cuba mengumpulkan keberanian tapi hanya ada puing-puing sukar disukat.
Di stesen terakhir, pintu tren terbuka dan wanita itu melangkah keluar, Kau mengekorinya.
Wanita itu mempercepatkan langkah, Kau mengikutinya rapat.
Akhirnya, wanita itu berpaling, lantas tegas menegur: “Apa kau mahu?”
“Apakah kau wanita sempurna?” Kata kau, sedikit tergagap.
“Kau sendiri boleh menentukannya,” tingkah wanita itu, lalu membuka butang bajunya.
Sampai ke butang terakhir, wanita itu pun menguak bajunya.
Kau tergegau. Di dalamnya, tiada dada yang Kau fikir antara payudara labuh dengan sekeping papan teguh, tiada juga pinggangnya yang Kau bayangkan antara lilitan kerengga dengan perut tempayan.
Yang ada adalah kata-kata memenuhi rongga itu. Lalu, terburai dan berterbangan bersama halaman akhbar ditiup angin malam keras merempuh tiba-tiba.
Pakaian wanita itu menggelungsur, terdampar di lantai. Wanita itu ghaib.
Yang tinggal adalah kata-kata, lembaran akhbar berserakan di lantai stesen dan sepucuk surat penamatan tugas Kau sebagai pengarang kumpulan bertarikh beberapa bulan sudah.