ad

GM Klang ajak orang ramai meriahkan program Ritma Merdeka pada 30 Ogos

15 Ogos 2025, 12:59 PM
GM Klang ajak orang ramai meriahkan program Ritma Merdeka pada 30 Ogos
GM Klang ajak orang ramai meriahkan program Ritma Merdeka pada 30 Ogos

SHAH ALAM, 15 OGOS: Pusat Borong GM Klang mengajak orang ramai memeriahkan program Ritma Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia.

Acara penuh warna-warni yang menggabungkan elemen budaya dan kreativiti untuk seisi keluarga itu akan berlangsung di tingkat bawah, blok B, GM Klang pada Sabtu, 30 Ogos.

“Acara akan dimulakan dengan sesi Aerodance Merdeka yang penuh semangat, dijangka melibatkan lebih 100 peserta yang akan beraksi penuh rancak mengikut rentak patriotik.

“Kemeriahan diteruskan dengan pelbagai aktiviti mesra keluarga, antaranya bengkel kraf kipas tangan Merdeka untuk si cilik serta permainan tradisional seperti congkak dan ceper yang bakal menggamit memori zaman silam.

“Suasana juga diserikan dengan persembahan kompang dan tarian tradisional berbilang kaum, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia. Pengunjung juga berpeluang bergambar bersama maskot ikonik GM Klang, Gina dan Mat,” maklumnya menerusi kenyataan.

Sorotan utama program ialah Pertandingan Pertunjukan Fesyen Lestari Merdeka, iaitu pertandingan peragaan busana yang mengetengahkan konsep kelestarian melalui rekaan pakaian kreatif daripada bahan kitar semula.

“Lebih daripada sekadar pertunjukan fesyen, inisiatif ini bertujuan menggalakkan inovasi hijau serta menyuntik semangat cintakan negara dalam bentuk yang unik dan menyeronokkan.

“Peserta berpeluang memenangi hadiah terkumpul dan wang tunai keseluruhan berjumlah RM2,000, termasuk RM200 bagi kategori Individu Terbaik dan RM300 bagi kategori Duo Terbaik, di samping hamper eksklusif dan token istimewa untuk rekaan yang paling menyerlah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Jenama GM Klang Puan Norsuhaida Othman berkata Ritma Merdeka menggambarkan arah baharu yang diterokai sebagai sebuah jenama.

Jelas beliau, GM Klang bukan lagi sekadar hab pemborongan sebaliknya sedang berkembang menjadi ruang yang menyatukan masyarakat menerusi nilai dan inisiatif yang bermakna.

“Bagi kami, Merdeka bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau menyanyi lagu patriotik sahaja. Ia tentang menyemai rasa bangga terhadap jati diri, menghargai akar budaya, serta memupuk nilai yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.

“Setiap pengisian dalam Ritma Merdeka, dari fesyen lestari, persembahan kebudayaan sehinggalah ke permainan tradisional semuanya disusun berdasarkan dua teras ESG utama kami: Penglibatan Budaya & Komuniti serta Tanggungjawab Alam Sekitar.

“Kami ingin setiap pengunjung pulang bukan sahaja terhibur, malah turut terinspirasi. Inilah semangat Merdeka yang ingin kami ketengahkan di GM Klang,” ujarnya.

Selari dengan aspirasi Ritma Merdeka, GM Klang juga mempelawa orang menyertai Pertandingan Pertunjukan Fesyen Lestari Merdeka.

Jika anda seorang yang kreatif, peduli alam sekitar dan ingin menyerlahkan gaya unik anda, inilah pentasnya! Terbuka kepada semua warganegara berumur 6 tahun ke atas, pertandingan ini mencabar anda untuk mereka busana menarik menggunakan bahan terpakai dan memperagakannya dengan penuh gaya di pentas utama kami.

Daftar sekarang melalui pautan https://gmklang.com/FesyenLestariMerdeka2025

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.