KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdullah mendesak kerajaan mengambil serius cadangan penggubalan Akta Anti Buli.
Berkhidmat lebih 20 tahun bersama Majlis Peguam Malaysia, beliau menjelaskan akta berkenaan berbeza dengan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 dikuatkuasa Julai lalu.
“Menerusi pindaan akta berkenaan, hukuman nampak dahsyat dengan penjara 10 tahun dan sebagainya. Tetapi jika buli di sekolah, anak-anak bawah 18 tahun diiktiraf juvana dan mereka tidak boleh dipenjarakan.
“Sebab itu boleh letak penjara sehingga 100 tahun pun. Tapi bila dikategori kanak-kanak, mereka akan dikenakan tindakan alternatif, seperti berkelakuan baik di bawah jagaan ibu bapa, adakah ia memadai?
“Adakah ia mampu mengubah sifat pembuli? Kita perlu adaptasi undang-undang anti buli baharu. Terkandung elemen jenayah, pampasan dan juga elemen supaya elak kanak-kanak tidak terus terjerumus,” katanya dalam sidang media bersama Gerakan Gubal Akta Anti Buli (GAB) di sini, hari ini.
Turut sama menyokong pergerakan itu ialah Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi Kanak-Kanak CPC International, Dr Noor Aishah Rosli dan bekas pegawai kehakiman, Abdul Hayyi Salim.
Mohamed Haniff berkata, GAB turut menggesa supaya pakar perubatan, undang-undang, kemasyarakatan dan pendidikan dilantik bagi mengkaji elemen yang akan diterap dalam Akta Anti Buli.
“Bagi kumpulan ini tempoh sembilan hingga 12 bulan, kita bukan memikirkan soal jenayah sahaja tetapi melihat urus tadbir sekolah, apa tindakan akan diambil terhadap pihak sekolah jika berlaku buli dalam institusi pendidikan itu.
“Usaha ini menyeluruh, buli sudah berlaku sejak 1980an, budaya kapla atau taiko sudah lama tetapi kita masih bersandar pada kanun keseksaan lama,” katanya.