Putra Heights: HASiL hulur sumbangan ringan beban mangsa

15 Ogos 2025, 3:22 AM
Putra Heights: HASiL hulur sumbangan ringan beban mangsa

SHAH ALAM, 15 OGOS: Sejumlah RM20,500 disumbangkan Misi Team Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Prihatin kepada mangsa terjejas insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Kutipan Misi Team HASiL Prihatin itu adalah hasil sumbangan peribadi melibatkan pegawai dan kakitangan HASiL seluruh negara bagi mengurangkan beban mangsa terlibat.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) HASiL Shaharrudy Othman kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Sementara itu, Shaharrudy berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban mangsa terjejas susulan letupan yang menyebabkan kerosakan teruk kediaman, infrastruktur dan sumber pendapatan.

“Kutipan ini daripada kakitangan HASiL seluruh negara sebanyak RM20,500. Ia adalah sumbangan peribadi daripada mereka sendiri.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) HASiL Shaharrudy Othman bercakap kepada media selepas menyerahkan sumbangan bantuan mangsa letupan gas Putra Heights di Bilik Gerakan MTES pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 15 Ogos 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kita prihatin dengan apa yang terjadi kepada rakyat Malaysia, jadi atas dasar itu kita laksanakan kutipan dan serahkan sumbangan,” katanya ditemui hari ini.

Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi 1 April lalu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70x80 kaki.

Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500m dari lokasi kejadian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619