Pasukan pemerhati diketuai Malaysia tinjau keadaan keselamatan di sempadan Kemboja

14 Ogos 2025, 2:49 PM
Pasukan pemerhati diketuai Malaysia tinjau keadaan keselamatan di sempadan Kemboja

PHNOM PENH, 14 OGOS: Usaha pemantauan gencatan senjata Kemboja-Thailand semakin dipergiat dengan Pasukan Pemerhati Sementara (IOT) yang dianggotai tujuh negara melawat kawasan sempadan hari ini bagi menilai keadaan keselamatan.

Pasukan itu, diketuai Atase Pertahanan Malaysia ke Kemboja Kol Nazlee Abdul Rahman, mengadakan lawatan lapangan untuk meninjau perkembangan terkini di sepanjang kawasan sempadan yang menjadi titik panas baru-baru ini.

Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Chum Sounry, menggesa Malaysia membantu proses pemantauan bagi mengelak sebarang peningkatan konflik.

“Kemboja menggesa Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN ketika ini dan fasilitator bersama gencatan senjata, supaya segera mewujudkan mekanisme pemantauan yang kukuh dan berkecuali bagi mengelakkan peningkatan konflik serta melindungi orang awam dan anggota tentera,” katanya pada sidang media awal hari ini.

IOT turut disertai wakil negara anggota ASEAN lain iaitu Brunei, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina dan Vietnam.

Menurut Kementerian Pertahanan Kemboja, mereka melawat Pos Pemeriksaan Sempadan Boeung Trakoun di wilayah Banteay Meanchey.

IOT merupakan sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Kemboja-Thailand yang diadakan pada 7 Ogos di Kuala Lumpur.

GBC itu diadakan susulan kejayaan Malaysia, bersama Amerika Syarikat dan China, menjadi perantara gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang terlibat dalam konflik bersenjata berhubung wilayah sempadan. Konflik itu berakhir pada 28 Julai.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619