Risalah Pengampunan Merdeka yang ditabur di hutan menyaksikan seorang demi seorang pemimpin mahupun anggota komunis menyerah diri, bahkan sebahagiannya berpaling tadah.
Tawaran janji Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman termasuk jaminan tiada siasatan atau pendakwaan terhadap kekejaman mereka dan ganjaran kewangan yang sangat besar mengaburi pertimbangan mereka.
Termasuklah Hor Lung, pemimpin berpangkat tinggi dalam gerakan tersebut -- Ketua Biro Parti Komunis Malaya (PKM) selatan Malaya. Dia juga anggota Jawatankuasa Pusat PKM.
Hor Lung dikatakan memperoleh ganjaran 500,000 Malayan Dolar, nilai yang amat besar pada 1958. Namun, penyerahan diri di sebuah balai polis di Segamat tidak diheboh.
Sebaliknya, Cawangan Khas Polis Malaya memperalat individu itu untuk memujuk seramai mungkin pengikutnya untuk menyerah diri.
Situasi itu juga menguntungkan Hor Lung kerana nilai habuan meningkat "jika menangkap atau membunuh bekas komrad" menurut buku Mata-Mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas pada Zaman Darurat 1945-60 tulisan Leon Comber.
Buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan yang menerima geran Kerajaan Selangor juga menyebut Hor Lung berjaya memujuk 160 anggota komunis untuk menyerah diri. Dia berbohong kononnya tindakan meletak senjata itu arahan Jawatankuasa Pusat PKM atas alasan Malaya telahpun merdeka.
Justeru, penentangan komunis di selatan Malaya runtuh sama sekali. Bilangan itu juga lebih ramai daripada penyerahan diri beramai-ramai 118 orang pengikut kepada seorang lagi pemimpin komunis iaitu Tan Hong di Perak beberapa minggu sebelumnya.
Selain tawaran Pengampunan Merdeka yang memecah-belah anggota komunis, gerakan dakyah ‘hitam’ yang dipelopori Tan Sri CC Too, pakar perang saraf, melalui ‘Arahan No 16 Briggs’ memporak peranda sokongan masyarakat terhadap gerakan komunis.
Pasukannya menyebar maklumat palsu kepada Min Yuen, rangkaian terdiri daripada orang awam yang menyokong Tentera Pembebasan Malaya (MNLA), nama lain bagi pergerakan yang didalangi PKM.
Penyaluran maklumat sedemikian kepada pimpinan PKM menyebabkan Min Yuen mula dicurigai, sekali gus menyemai benih bibit-bibit rasa ketidakpercayaan seterusnya mewujudkan keretakan.
Naskhah terjemahan Razan Rose dan Syed Omar Husain itu juga mengisahkan banyak lagi peranan Cawangan Khas yang membawa kepada kejatuhan pemberontakan komunis di Malaya pada 1960 seterusnya saki-baki pengikut berundur ke selatan Thailand.
Buku 12 bab itu turut memapar sejarah awal penubuhan Cawangan Khas pasca Perang Dunia Kedua. Asalnya, badan perisikan yang diwujudkan pada Ogos 1948 diletak bawah Jabatan Siasatan Jenayah sebelum dipisahkan dan berkembang sebagai antara agensi perisikan terkenal.
Comber memperinci pergeseran pegawai tinggi tentera British dengan agensi perisikan seperti MI5 dan MI6 sebelum Cawangan Khas ada.
Buku itu turut mendedahkan ketidaksefahaman pentadbiran kerajaan Britain dengan pegawai tentera penjajah dalam menganalisis ancaman komunis di Asia Tenggara.
Malah, Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya Sir Edward Gent memandang enteng ancaman komunis.
Berikutan itu, kerajaan kolonial di Malaya terjejas teruk dan gagal menangkis dakyah komunis yang menyusup ke akar umbi masyarakat khususnya kaum Tionghua.
Hanya apabila Sir Henry Gurney yang pernah bertugas di Palestin menyandang jawatan Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, peranan Cawangan Khas diperkasa. Lebih ramai kalangan kaum Cina direkrut dan dilatih. Perang saraf juga diperkuat.
Sementara itu, Hor Lung yang menerima ganjaran mewah pula diberi identiti baharu, bahkan berpeluang menjalankan perniagaan sah. Dalam sebuah lagi buku terjemahan IBDE berjudul Perang Anjing Suruhan: Darurat dan Kekalahan Komunis di Malaya 1948-60, Tunku Abdul Rahman menyebut “Dia (Hor Lung) kini lebih kaya daripada kita semua.”
Buku terjemahan Syed Omar Husain itu juga mendedahkan ganjaran kewangan menyebabkan ramai pemimpin komunis diburu. Karya itu juga memapar pengakuan Setiausaha Agung PKM Chin Peng perihal empat pemimpin utamanya hilang dalam masa beberapa bulan pada 1952 selain kehilangan 1,502 anggota.
Mereka antaranya Manap Jepun, pengganti Abdullah CD sebagai Komander Rejimen Melayu ke-10. Selain itu, Pengganas Berjanggut dari Kajang, Ming Lee dan Kuk Si Pendek. Kematian Kuk Si Pendek paling ngeri.
Meski berbangga kerana tersenarai sebagai orang dikehendaki bernilai 200,000 Malayan Dolar, dia akhirnya ditembak ketika tidur dan kepalanya dipenggal pengikut sendiri. Kepala yang masih menitiskan darah dibawa ke balai polis sebagai bukti untuk menerima habuan kewangan.
Kedua-dua buku berkenaan juga ada menyebut Tunku Abdul Rahman Putra terpaksa berdepan kemarahan anggota keselamatan berpangkat rendah yang membandingkan gaji mereka dengan imbuhan untuk pemimpin komunis berpaling tadah selain faktor pengampunan yang dianggap terlalu mudah lagi murah berbanding kezaliman mereka termasuk kes Hor Lung yang akhirnya menjadi kapitalis dan memiliki sebuah syarikat pembalakan.