ad

Amalan penyusuan redakan tekanan, bantu kurangkan berat badan

17 Ogos 2025, 2:00 AM
Amalan penyusuan redakan tekanan, bantu kurangkan berat badan

Penyusuan susu ibu ibarat pelukan dari dalam yang mengenyangkan si kecil. Setiap titisan merupakan bekalan kesihatan yang tidak ternilai harganya.

Susu ibu mengandungi semua nutrien penting diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi, termasuk antibodi yang membantu melindunginya daripada jangkitan dan penyakit.

Proses itu juga mewujudkan sentuhan kulit ke kulit yang memperkukuh ikatan emosi antara ibu dan anak, sekali gus memberikan rasa selamat dan kasih sayang mendalam sejak hari pertama kelahiran.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pakar Ampang Puteri Dr Siti Farhana Md Pauzi menegaskan, di awal kelahiran tubuh ibu menghasilkan kolostrum, susu pekat berwarna keemasan kaya dengan antibodi.

"Itulah “vaksin semula jadi” yang melindungi bayi ketika sistem pertahanannya masih rapuh," katanya.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pakar Ampang Puteri Dr Siti Farhana Md Pauzi

Lebih menakjubkan, jika bayi jatuh sakit, tubuh ibu akan ‘membaca’ isyaratnya lalu mengubah komposisi susu dengan menghasilkan lebih banyak sel imun untuk membantu bayi sembuh.

Keajaiban ini, jelas beliau, tiada tandingan dan tidak mungkin dapat dihasilkan oleh mana-mana susu formula.

Hormon penenang

Penyusuan juga bukan hanya menyihatkan bayi tetapi berupaya memulihkan jiwa dan tubuh ibu.

Setiap kali bayi menyusu, tubuh ibu melepaskan hormon oksitosin atau dikenali sebagai "hormon kasih sayang". Ia membantu mengecutkan rahim, mengurangkan tekanan dan menenangkan emosi.

"Hormon itu juga memperkukuh ikatan rohani antara ibu dan anak, menjadikannya hubungan yang kekal sepanjang hayat," katanya.

Beliau menjelaskan, susu ibu menggalakkan pertumbuhan bakteria baik yang membantu pencernaan dan mencegah jangkitan dalam usus bayi.

Bukan itu sahaja, kandungan DHA (asid dokosaheksaenoik) dan nutrien penting lain di dalamnya menyokong pertumbuhan sel otak dan fungsi kognitif.

"Kajian mendapati anak yang diberi susu ibu memiliki tahap kecerdasan yang tinggi dan pencapaian akademik lebih cemerlang," katanya.

Manfaat jangka panjang

Penyusuan memberi ganjaran kesihatan kepada ibu dalam jangka panjang. Risiko untuk mereka mendapat barah payudara dan ovari, kencing manis jenis 2 dan penyakit jantung lebih rendah.

Lebih manis lagi, proses itu membantu ibu menurunkan berat badan secara semula jadi selepas bersalin tanpa diet ketat atau senaman berat.

Justeru, Dr Siti Farhana mengingatkan semua ibu dan bakal ibu penyusuan bukan sekadar rutin memberi makan.

Ia adalah warisan kesihatan dan kasih sayang yang akan dirasai anak hingga dewasa dan akan kekal di hati ibu selama-lamanya.

“Setiap titis susu ibu adalah anugerah, bukan sahaja untuk kesihatan bayi hari ini, tetapi juga untuk masa depan ibu dan anak.

"Penyusuan bukan sekadar memberi makan, ia memberi kehidupan, perlindungan dan cinta yang berkekalan,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.