"Diam, Andai Teruskan Aids”: Isteri Rafizi terima ugutan selepas anak diserang

14 Ogos 2025, 7:13 AM
"Diam, Andai Teruskan Aids”: Isteri Rafizi terima ugutan selepas anak diserang

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan isterinya menerima ugutan pagi tadi susulan insiden melibatkan anak lelakinya yang disuntik individu tidak dikenali semalam, yang sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata ugutan itu diterima isterinya 1.12 pagi dan 11.02 pagi hari ini, masing-masing mengandungi ancaman "diam, andai teruskan Aids" serta emoji picagari, daripada nombor telefon sama.

“Saya ingat perkara ini (ugutan kepada ahli keluarga) akan berterusan kerana pada hemat saya, mesej strateginya ialah disebabkan saya ini selalunya tidak makan saman. Maksudnya, kes saman pun saya dah lalui, lokap pun saya dah lalui, hilang jawatan atau apa sahaja saya tidak ambil peduli.

“Jadi, saya fikir mereka yang terbabit ini merasakan mungkin lebih mudah mempengaruhi keputusan saya kalau melalui isteri,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Memberikan perkembangan situasi terkini anaknya, Rafizi berkata pemeriksaan awal di Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak menunjukkan kesan sampingan dalam tempoh 24 jam pertama, sekali gus memberikan keyakinan untuk menolak kemungkinan suntikan berbentuk dadah atau racun.

Bagaimanapun katanya, ujian darah berkala selama enam bulan perlu dilakukan bagi memastikan tiada jangkitan berasaskan virus seperti hepatitis atau HIV, memandangkan hanya ujian susulan dapat memberikan pengesahan sepenuhnya.

Beliau berkata suntikan itu berkemungkinan mengandungi dadah atau racun, berbentuk virus, atau hanya cecair kosong, namun tanpa jarum suntikan yang dibawa lari suspek, kandungannya tidak dapat dikenal pasti dengan segera.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, ketika mangsa seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan berada bersama-sama ibunya dan pemandu mereka.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619