Polis: Dua suspek serang anak Rafizi guna nombor pendaftaran motosikal palsu

14 Ogos 2025, 6:07 AM
Polis: Dua suspek serang anak Rafizi guna nombor pendaftaran motosikal palsu

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Motosikal digunakan dua individu yang dipercayai terlibat dalam serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya petang semalam, disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata maklumat itu berdasarkan hasil pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran motosikal yang digunakan ketika kejadian dan pihaknya sedang giat mengesan kedua-dua suspek terbabit.

"Setakat ini, penyerang dikesan ialah dua individu, namun identiti suspek masih belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shazeli berkata, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti cecair yang didakwa digunakan di dalam jarum suntikan ketika kejadian.

Semalam, polis mengesahkan kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Shazeli berkata, mangsa ialah kanak-kanak lelaki dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut di sebuah hospital di Selangor.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian.

Rafizi dalam kenyataan semalam mengesahkan mangsa serangan itu ialah anaknya dan ketika kejadian, dua suspek lelaki terbabit berpakaian hitam, bertopi keledar dan menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isterinya.

Menurut Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619