Polis nasihat batal himpunan di Kepala Batas, elak pertembungan kumpulan bertentangan

14 Ogos 2025, 1:53 AM
Polis nasihat batal himpunan di Kepala Batas, elak pertembungan kumpulan bertentangan

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan perhimpunan yang dijadualkan di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini dibatalkan bagi mengelakkan pertembungan tidak sihat antara kumpulan bertentangan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata ia juga bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat terpelihara.

“PDRM memandang serius setiap isu yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Sehubungan dengan itu, PDRM mengambil maklum berhubung perhimpunan yang akan diadakan di Bertam, Kepala Batas pada 14 Ogos 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khalid berkata PDRM telah menjalankan siasatan berhubung isu pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial baru-baru ini, selepas menerima 38 laporan di seluruh negara, dengan 17 daripadanya diterima di Pulau Pinang dan 21 lagi di negeri lain.

“Siasatan turut merangkumi tindakan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan rakaman itu di bawah peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Mohd Khalid berkata, kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya Pulau Pinang Isnin lalu dan kini sedang dalam penelitian pihak berkenaan.

Beliau berkata PDRM sentiasa komited melaksanakan siasatan secara telus, berintegriti dan mengikut peruntukan undang-undang demi memelihara keamanan serta keharmonian masyarakat.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan sebaliknya terus menyalurkan maklumat sahih kepada pihak polis,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619