PBB: Krisis kebuluran di Gaza semakin meruncing, bantuan disekat

14 Ogos 2025, 1:11 AM
PBB: Krisis kebuluran di Gaza semakin meruncing, bantuan disekat
PBB: Krisis kebuluran di Gaza semakin meruncing, bantuan disekat
PBB: Krisis kebuluran di Gaza semakin meruncing, bantuan disekat

WASHINGTON, 14 OGOS: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa bantuan yang memasuki Gaza masih jauh daripada mencukupi untuk menangani krisis kebuluran yang semakin meruncing di tengah-tengah sekatan Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Jumlah bantuan dan barangan yang dapat dibawa masuk ke Gaza tidak memenuhi keperluan minimum penduduk yang sedang kelaparan,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric kepada pemberita semalam, sambil menegaskan bahawa gencatan senjata adalah “amat diperlukan” untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan memastikan aliran bantuan yang berterusan.

Merujuk kepada Kementerian Kesihatan Gaza, Dujarric berkata, lapan orang termasuk tiga kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan kebuluran dalam tempoh 24 jam lalu.

“Laporan seperti ini telah menjadi kebiasaan,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengadakan latihan penyegaran di Hospital Kanak-Kanak Al-Rantisi, satu daripada hanya dua pusat penstabilan nutrisi di Bandar Gaza bagi mengemas kini pengetahuan kakitangan mengenai pengurusan kekurangan zat makanan dalam kalangan pesakit yang dirawat.

Jurucakap PBB itu berkata peningkatan mendadak kes kekurangan zat makanan membabitkan kanak-kanak telah memaksa peluasan kemudahan itu, dengan lebih 340 kanak-kanak menerima rawatan setakat tahun ini.

Sehingga 5 Ogos, sekurang-kurangnya 49 kematian kanak-kanak akibat kekurangan zat makanan disahkan, termasuk 39 yang berusia bawah lima tahun, kata Dujarric.

Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza selama 18 tahun dan menutup semua lintasan sempadan pada 2 Mac, sekali gus menamatkan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang dimeterai pada Januari, termasuk menyekat akses bantuan kemanusiaan.

Israel baru-baru ini hanya membenarkan bantuan terhad melalui sebuah organisasi yang disokong Amerika Syarikat dan Israel, iaitu Gaza Humanitarian Foundation (GHF).

Pasukan dan kontraktor Israel didakwa melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang mendapatkan bantuan, mengorbankan hampir 1,400 orang dan mencederakan lebih 4,000 sejak akhir Mei, iaitu ketika GHF mula beroperasi, menurut PBB.

- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619