Ibu bapa boleh saman sekolah jika anak cedera atau jadi mangsa buli

14 Ogos 2025, 3:00 AM
Ibu bapa boleh saman sekolah jika anak cedera atau jadi mangsa buli

SHAH ALAM, 13 OGOS: Peguam jenayah, Irwan Sumadi menjelaskan ibu bapa boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak sekolah sekiranya terbukti berlaku kecuaian sehingga menyebabkan murid cedera atau menjadi mangsa buli.

Menurutnya, saman yang difailkan bukan kerana insiden buli semata-mata, tetapi kerana kegagalan sekolah melaksanakan tanggungjawab sebagai penjaga ketika murid berada di kawasan sekolah.

"Sekolah dan guru bertanggungjawab memastikan persekitaran yang selamat, bebas daripada elemen berbahaya, mengawasi murid daripada pergaduhan atau kemalangan serta mewujudkan persekitaran yang dapat mengurangkan risiko insiden buli," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau turut merujuk kes pada tahun 2024 apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan pengetua, penolong kanan, Ketua Pengarah Pelajaran dan Kerajaan diperintahkan membayar ganti rugi RM600,000 atas kes buli di sebuah sekolah di pantai timur yang menyebabkan pelajar tersebut hilang pendengaran di telinga kanan.

Jelasnya, tuntutan saman kecuaian sekolah akan melibatkan tindakan sivil dan bukannya hukuman jenayah.

"Kalau terbukti berlaku kecuaian, ibu bapa boleh saman. Prosesnya adalah melantik peguam untuk memfailkan saman sama ada di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi," jelasnya.

Tambah beliau, jumlah ganti rugi akan dinilai berdasarkan tahap kecederaan sama ada kekal atau sementara serta faktor-faktor lain yang menyebabkan kejadian tersebut berlaku.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619