Kematian pegawai kadet Palapes UTM: Polis ambil keterangan 22 individu

13 Ogos 2025, 9:32 AM
Kematian pegawai kadet Palapes UTM: Polis ambil keterangan 22 individu

JOHOR BAHRU, 13 OGOS: Sebanyak 22 individu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes kematian penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Syamsul Haris Shamsudin.

Ketua Polis Johor CP Ab Rahaman Arsad berkata kesemua mereka termasuk doktor, pegawai perubatan, ahli keluarga, rakan serta jurulatih.

“Kita masih menunggu keputusan pihak Hospital Kota Tinggi untuk mengesahkan apakah sebab kematian kepada si mati. Jadi, setakat ini kita masih belum menerima laporan bedah siasat itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan dijangka dapat dilengkapkan dalam tempoh sebulan sebelum ia dirujuk kepada Jabatan Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya.

“Kita akan rujuk kepada Jabatan Pendakwaan untuk mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai apa lagi keperluan untuk kita meneruskan siasatan dalam kes ini selepas bedah siasat sebab kes ini telah pun mendapat perhatian di peringkat Bukit Aman.

“Difahamkan di peringkat Kementerian Dalam Negeri pun telah meminta supaya perkara ini disegerakan dan kita akan dapatkan dengan seberapa segera (hasil laporan) dari jabatan kimia,” katanya.

Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani latihan PALAPES UTM di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram di sini dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan.

Penuntut Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Sekuriti Siber UTM yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu menyertai latihan PALAPES UTM bermula 26 Julai lepas dan dijadualkan berakhir 3 Ogos.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian itu menubuhkan jawatankuasa yang turut disertai KPT dan Kementerian Dalam Negeri bagi menyiasat kematian Syamsul Haris.

Ibu Allahyarham Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun pada Isnin lepas menuntut supaya siasatan punca kematian dilaksanakan dengan telus dan adil, selain mahukan proses bedah siasat kedua dibuat segera.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619