SHAH ALAM, 13 OGOS: Prof Emeritus Datuk Dr Ir Hassan Basri hari ini menerima surat pelantikan sebagai Presiden dan Naib Canselor kelapan Universiti Selangor (Unisel), berkuat kuasa 18 Ogos ini.
Pelantikan Dr Hassan menggantikan Senator Prof Emeritus Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman yang telah tamat perkhidmatan pada 30 Jun lalu.
Surat pelantikan kepada pakar kejuruteraan itu disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.
Amirudin berkata pelantikan Dr Hassan selaras dengan hasrat negeri untuk menjadikan Unisel sebagai universiti teknikal dan vokasional terkemuka negara.
“Pelantikan Dr Hassan merupakan pemilihan yang amat tepat dan sesuai dengan latar belakang beliau dalam TVET.
“Keterlibatan beliau dalam bidang teknologi sains dan khususnya TVET, sangat signifikan terhadap pembangunan bidang ini di Malaysia dan diharap dapat membantu memantapkan lagi Unisel,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Dr Hassan menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu amanah dan penghormatan tinggi selain menghargai kepercayaan yang diberikan Kerajaan Negeri.
Beliau yakin Unisel berpotensi menjadi universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terkemuka seiring dengan harapan negeri untuk memperkasa sektor tersebut pada masa hadapan.
“Saya yakin Unisel mempunyai potensi besar untuk menjadi universiti TVET. Saya akan ambil sedikit masa untuk mengenali kekuatan dan potensi yang ada. Kemudian kita akan rangka bagaimana untuk bergerak ke hadapan,” katanya.
Dr Hassan, 65, merupakan bekas pensyarah kanan di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selain menjadi Ahli Lembaga Politeknik selama 15 tahun.
Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan alam sekitar, Kecerdasan Buatan (AI), dan pendidikan kejuruteraan serta pengalaman industri yang signifikan sejak 1983 hingga 1998.