ad

Selangor peruntuk RM26.6 juta baiki infrastruktur 873 sekolah, termasuk sekolah agama rakyat

13 Ogos 2025, 6:46 AM
Selangor peruntuk RM26.6 juta baiki infrastruktur 873 sekolah, termasuk sekolah agama rakyat
Selangor peruntuk RM26.6 juta baiki infrastruktur 873 sekolah, termasuk sekolah agama rakyat
Selangor peruntuk RM26.6 juta baiki infrastruktur 873 sekolah, termasuk sekolah agama rakyat
Selangor peruntuk RM26.6 juta baiki infrastruktur 873 sekolah, termasuk sekolah agama rakyat
Selangor peruntuk RM26.6 juta baiki infrastruktur 873 sekolah, termasuk sekolah agama rakyat

KLANG, 13 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM26.624 juta bagi program bantuan sekolah tahun ini, khusus untuk membaik pulih infrastruktur sekolah.

Dana yang diserahkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari itu memberi manfaat kepada 873 sekolah melibatkan tujuh kategori, termasuk sekolah agama rakyat.

Menurut Amirudin jumlah tersebut meningkat berbanding tahun lalu bagi memastikan pelajar menikmati kemudahan pendidikan yang lebih selesa dan kondusif.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari ketika hadir Majlis Penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor di Dewan Konvensyen MBDK, Klang pada 13 Ogos 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Tahun ini kita tambah sedikit jumlah untuk memastikan sekolah dilengkapi infrastruktur dan suasana pembelajaran yang baik. Usaha ini bukan sahaja untuk memastikan sekolah dalam keadaan baik, tetapi demi generasi masa depan.

“Bukan mudah kerana banyak isu lain seperti kepadatan sekolah dan kekurangan kemudahan, namun saya percaya jika bekerjasama sebagai satu pasukan, kita dapat mencari penyelesaian terbaik.

“Dengan muafakat dan persefahaman erat warga pendidik, kita boleh menggerakkan institusi pendidikan negeri menjadi pusat pendidikan terbaik,” katanya pada majlis penyerahan bantuan tersebut hari ini.

Daripada jumlah itu, sekolah agama rakyat menerima RM11 juta, sekolah jenis kebangsaan Cina (RM6 juta), sekolah jenis kebangsaan Tamil (RM5 juta), dan sekolah menengah persendirian Cina (RM2 juta).

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor di Dewan Konvensyen MBDK, Klang pada 13 Ogos 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sekolah kebangsaan serta sekolah menengah kebangsaan pula menerima RM1.624 juta, manakala sekolah mubaligh dan sekolah menengah jenis kebangsaan mendapat RM1 juta.

Amirudin menambah, fokus Kerajaan Negeri bukan sekadar kepada infrastruktur fizikal, tetapi turut merangkumi program pembangunan pelajar.

“Selain peruntukan, kita juga melaksanakan pengisian lain seperti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan penganjuran kawad kaki yang dapat memantapkan nilai diri serta disiplin pelajar.

“Malah, inisiatif ini bukan hanya memanfaatkan pelajar di Selangor, tetapi juga negeri lain seperti Kelantan dan Perak yang menggunakan modul PTRS secara percuma.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 1 membuat persembahan tarian tradisional ketika Majlis Penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor di Dewan Konvensyen MBDK, Klang pada 13 Ogos 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Semua ini adalah usaha membangunkan negeri melalui pendidikan, ilmu pengetahuan, dan maklumat supaya pelajar mendapat didikan yang tepat,” jelasnya.

Sementara itu, wakil sekolah agama rakyat, Afzainizam Miskan, berkata pihaknya akan memanfaatkan bantuan yang diterima untuk membaik pulih infrastruktur KAFA Integrasi Salehuddin Panchang Bedena di Sabak Bernam.

“Dana RM20,000 ini akan digunakan untuk membaiki bumbung dan tandas serta menaik taraf sistem pendawaian.

“Sebelum ini memang ada kekangan untuk membaiki kemudahan sekolah, tetapi dengan bantuan ini, kami akan gunakannya sebaik mungkin demi pembelajaran dan keselesaan pelajar,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.