SHAH ALAM, 12 OGOS: Lebih 600 usahawan wanita luar bandar di Selangor menerima manfaat Skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) yang menawarkan modal sehingga RM50,000 untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan, selaras usaha memperkasa mereka melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ahli perwakilan Sidang Wanita Selangor (Siwanis) 2025 merangkap EXCO Keusahawanan Nur Aasima Ahmad berkata, pembiayaan di bawah NaDi kendalian Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah), meliputi pelbagai sektor seperti makanan, kraftangan, perkhidmatan kecantikan dan percetakan digital, dengan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun.
"Program lain seperti Selangor Care Accelerator 2025 (XCare) untuk industri penjagaan, platform Selangor (Plats) dengan lebih 50,000 peniaga berdaftar, SelBiz yang melahirkan 10,000 usahawan, serta Usahanita Wanita Berdaya Selangor (WBS) yang menggabungkan latihan, geran dan bimbingan membuktikan TVET menjadi pemangkin ekonomi wanita luar bandar.
"Latihan TVET ibarat memberi pancing tanpa tali di mana tidak membawa hasil, justeru pendekatan Kerajaan Negeri adalah bersifat menyeluruh iaitu melatih, membimbing, membiayai dan memasarkan," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada ahli perwakilan yang bertindak sebagai wakil rakyat Seri Kembangan, Nor Farah Fazrita Jamaluddin tentang hala tuju wanita luar bandar setelah tamat TVET dan usaha Kerajaan Negeri dalam menyediakan jaringan pekerjaan atau geran kepada golongan B40 terutama dalam bidang keusahawanan.
Nur Aasima berkata, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM16 juta setahun untuk pelbagai inisiatif TVET termasuk penajaan pelatih di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) bagi Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Profesional dan kursus jangka pendek.
Siwanis edisi ketiga yang menutup tirainya hari ini menghimpunkan 56 perwakilan wanita dari seluruh Selangor serta wakil jemputan luar negeri, menjadikannya platform kepimpinan wanita yang bersifat inklusif dan berimpak tinggi.
Menggunakan format simulasi Sidang Dewan Negeri, program ini bertujuan mencungkil bakat kepimpinan wanita, memperkukuh pengetahuan dasar, dan melatih mereka sebagai bakal pemimpin di peringkat negeri serta negara.