Langkah perangi buli di IPT, kos rawatan tinggi antara tumpuan Dewan Rakyat

12 Ogos 2025, 12:20 AM
Langkah perangi buli di IPT, kos rawatan tinggi antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Langkah mengekang buli di institut pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta hasil keputusan kerajaan berhubung status penubuhan Ombudsman Malaysia antara perkara yang akan dibangkitkan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan langkah berkenaan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Syahredzan Johan (PH-Bangi) akan meminta Perdana Menteri menyatakan hasil keputusan kerajaan susulan sesi libat urus menyeluruh dengan pihak berkepentingan berhubung status penubuhan Ombudsman Malaysia serta menjelaskan langkah yang dirancang bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

Turut menarik perhatian ialah soalan berhubung aduan kos rawatan yang tinggi di hospital swasta yang akan dibangkitkan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) kepada Menteri Kesihatan pada sesi soal jawab lisan.

Suhaizan juga ingin mengetahui rancangan lima tahun kerajaan untuk memperkenalkan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) sebagai langkah untuk menyelaraskan penstrukturan kos kesihatan serta sekiranya ada rancangan mewujudkan tribunal pesakit untuk mereka meluahkan perasaan tidak puas hati.

Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jika kementerian mempunyai cadangan untuk mewujudkan perjawatan koordinator keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sektor awam selaras dengan perubahan Akta OSH yang ditambah baik pada 2022.

Selepas sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang bermula sejak Isnin lalu dan disertai 78 ahli parlimen.

RMK13 yang bertemakan "Melakar Semula Pembangunan" dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lalu, dengan pelaburan RM611 bilion perlu disediakan kerajaan untuk memacu pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619