Pasukan khas Bukit Aman ambil alih siasatan kes Zara Qairina

11 Ogos 2025, 11:44 AM
Pasukan khas Bukit Aman ambil alih siasatan kes Zara Qairina

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Sepasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, yang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota telah dihantar ke Sabah untuk mengambil alih siasatan kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.

Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penghantaran pasukan itu adalah sebahagian daripada komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan siasatan dilaksanakan dengan telus, profesional dan menyeluruh.

“PDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa. Sehubungan itu, PDRM menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional serta mengelak daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan bahawa mayat Zara Qairina, 13, perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.

AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Berikutan itu, pada Sabtu lepas, jenazah remaja tersebut digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, serta dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi tadi di tanah perkuburan sama.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai.

Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619