Pengarah pendidikan, PPD diarah buat lawatan mengejut ke sekolah

11 Ogos 2025, 9:49 AM
Pengarah pendidikan, PPD diarah buat lawatan mengejut ke sekolah
Pengarah pendidikan, PPD diarah buat lawatan mengejut ke sekolah

KUALA TERENGGANU, 11 OGOS: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua pengarah pendidikan negeri dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah secara mengejut, sebagai langkah memastikan gejala buli di sekolah dapat dibendung.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata malah pengarah dan pegawai berkenaan juga perlu turun ke sekolah berasrama pada waktu malam, bukan sahaja untuk memantau malah mendekati dan memahami kehidupan pelajar di asrama.

“Mungkin kita kena turun tanpa ada perancangan dan tanpa diberitahu. Kita turun ke sekolah, tengok keadaan sekolah, kita nak tengok nature sekolah itu macam apa berlaku. Kita mungkin turun malam nak tengok di asrama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Guru MADANI dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Tingkatan Enam di sini hari ini, disempurnakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Mohd Azam berkata kementerian juga mengarahkan pengetua dan guru besar mewajibkan laungan “Kami Benci Buli” sebelum dan selepas sesi persekolahan, sebagai peperangan terhadap gejala buli yang diperjuangkan KPM.

Beliau berkata laungan itu bertujuan menanamkan rasa benci akan gejala buli dalam minda dan diri pelajar serta murid.

Mohd Azam berkata pihaknya juga akan menambah baik ciri-ciri keselamatan di sekolah terutama sekolah asrama, bagi mengekang kejadian buli seperti penambahan kamera litar tertutup (CCTV) dan bilangan warden asrama.

Pada masa sama, beliau juga meminta semua pihak termasuk guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan komuniti setempat supaya memainkan peranan dalam memastikan keselamatan pelajar di asrama terutama pada waktu malam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619