Polis sahkan bayi maut didera, bapa kandung dan ibu tiri ditahan

11 Ogos 2025, 8:13 AM
Polis sahkan bayi maut didera, bapa kandung dan ibu tiri ditahan

KUALA TERENGGANU, 11 OGOS: Polis mengesahkan terdapat unsur penderaan dalam kes kematian melibatkan bayi lelaki berusia setahun 11 bulan di Kampung Banggol, Manir di sini pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata dari segi kecederaan terdapat kesan lebam di seluruh badan, manakala hasil laporan bedah siasat pula mendapati berlaku pendarahan di kepala.

Beliau berkata setakat ini sebanyak empat saksi telah diambil keterangan termasuk dua suspek, iaitu bapa kandung dan ibu tiri selain doktor serta jururawat di sebuah hospital yang merawat mangsa.

"Setakat ini kita dah ambil keterangan empat saksi. Insiden ini berlaku di dalam rumah … mereka berempat sahaja di dalam rumah, iaitu mangsa, suspek lelaki dan wanita serta abang mangsa yang berusia tiga tahun.

"Mungkin selepas ini kita akan ambil keterangan ibu kandung mangsa yang berada di Johor. Menurut siasatan suspek lelaki dan wanita baru enam bulan berkahwin dan mereka juga tidak bercampur dengan jiran sekeliling," katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Pada majlis itu, bekas Ketua Jabatan Pengurusan IPK Kuala Lumpur SAC Suffian Sulaiman dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Terengganu baharu.

Mohd Khairi berkata polis juga sedang menunggu laporan perubatan mangsa untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.

Susulan kes berkenaan, pemeriksaan kesihatan juga dijalankan terhadap abang mangsa yang kini di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan didapati tiada unsur penderaan berlaku terhadapnya.

"Kita minta supaya laporan perubatan disiapkan seberapa segera kerana ia melibatkan kes kematian kanak-kanak yang mendapat perhatian ramai," katanya.

Semalam media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 11 bulan meninggal dunia di sebuah hospital selepas empat hari dimasukkan ke wad disyaki akibat didera.

Dua suspek, iaitu bapa kandung yang berusia 27 tahun dan ibu tiri mangsa berusia 30 tahun direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. -- BERNAMA

TAG: dera, polis, reman, suspek, mangsa

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619