Empat lagi sistem pantau tahap radioaktif perairan negara dipasang

11 Ogos 2025, 4:54 AM
Empat lagi sistem pantau tahap radioaktif perairan negara dipasang

JOHOR BAHRU, 11 OGOS: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) merancang memasang empat lagi Sistem Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS) di seluruh negara menjelang hujung tahun ini bagi memantau tahap keradioaktifan di perairan negara.

Menteri berkenaan Chang Lih Kang berkata empat lokasi tersebut ialah Pulau Langkawi di Kedah, Pulau Perhentian, di Terengganu, Pulau Tioman di Pahang dan Bintulu di Sarawak.

Beliau berkata, sistem itu merupakan teknologi yang direka untuk meningkatkan keupayaan negara mengesan dan bertindak balas dengan pantas terhadap sebarang ancaman radiologi dalam sumber air.

“Sistem ini bukan sahaja dipasang di Malaysia, malah negara Asean lain juga mempunyai sistem serupa. Jadi, kita akan dapat pengesanan awal sekiranya terdapat bacaan radioaktif yang abnormal di mana-mana bahagian rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Mesyuarat Tahunan Ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom Asean (Aseantom) di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ketika merasmikan mesyuarat tersebut berkata Jabatan Tenaga Atom Malaysia akan melancarkan GSWMS di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Chang berkata GSWMS pertama di Malaysia dipasang di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Jun 2023.

Mesyuarat Aseantom 2025 dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) selaku Pengerusi ASEANTOM, bersempena Kepengerusian Malaysia di Asean tahun ini.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619