ad

Lapan jam saksikan bedah siasat Zara Qairina

11 Ogos 2025, 12:25 AM
Lapan jam saksikan bedah siasat Zara Qairina
Lapan jam saksikan bedah siasat Zara Qairina
Lapan jam saksikan bedah siasat Zara Qairina

KOTA KINABALU, 11 OGOS: Selama lapan jam di bilik bedah siasat, peguam Shahlan Jufri menjadi saksi kerja teliti pasukan pakar forensik yang berusaha mencari kebenaran di sebalik kematian Zara Qairina Mahathir, 13, di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini semalam.

Beliau adalah salah seorang peguam mewakili Noraidah Lamat, 45, iaitu ibu Allahyarham dan wakil keluarga menyaksikan prosedur yang dikendalikan empat doktor pakar forensik.

Menceritakan pengalaman pertama berada di bilik bedah siasat sebagai memenuhi permintaan ahli keluarga, Shahlan mengakui semuanya masih segar dalam ingatannya.

“Ini kali pertama saya berada di bilik bedah, selalunya lihat gambar sahaja. Kalau saya mahu terangkan satu persatu bagaimana proses bedah siasat itu, saya boleh terangkan sekarang sebab masih lagi segar (dalam ingatan) dan doktor ada sebut tadi, dia terkejut sebab selama ini, inilah peguam yang boleh tahan di dalam (bilik bedah siasat).

Anggota polis mengawal kawasan Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi Kampung Masapol Sipitang tempat Zara Qairina Mahathir, 13, dikebumikan. Pada 9 Ogos 2025 kubur jenazah pelajar itu digali semula. Foto BERNAMA

“Saya masih tahu keadaan arwah bagaimana, pisau apa digunakan, mangkuk apa digunakan, macam-macam. Pada awalnya gemuruh, lepas itu rasa kasihan sebab terpaksa gali balik dan buat bedah siasat bukan suatu perkara yang mudah, dan ketiga insaflah,” katanya sebaik keluar dari bilik bedah siasat, lapor Sinar Harian.

Meskipun berada berjam-jam, beliau hanya keluar sebentar dua kali untuk mengambil udara segar di bilik kaca.

“Tiada (tidak keluar ke tandas), saya ada dua kali pergi ke bilik kaca, saya mahu ambil udara segar kemudian saya masuk sekejap namun tidak sampai lima minit, doktor panggil. Jadi saya masuk semula ke bilik bedah, pakai pelitup mulut dan sebagainya.

“Kali kedua mahu ambil udara segar, masuk tidak sampai lima minit kena panggil balik. Akhirnya, saya cakap memang kena tunggu dalam, tidak boleh di luar, tidak boleh di bilik kaca,” jelasnya.

Malah, kongsinya sepanjang tempoh dari jam 11 pagi hingga 7 malam, beliau langsung tidak menjamah makanan atau minuman, sama seperti pasukan pakar forensik yang turut bekerja tanpa henti.

“Dari jam 11 hingga jam 7, tiada makan tiada minum. Sebab itu saya cakap tadi, saya sangat berterima kasih kepada pasukan forensik sebab mereka bukan lagi tidak makan tidak minum tetapi tidak duduk.

“Saya boleh duduk, mereka langsung tidak duduk, mereka sentiasa bergerak untuk mencari kecederaan lama dan baharu, kalau ada,” ujarnya.

Beliau menjelaskan dirinya bertahan untuk kekal berada di dalam bilik itu dari awal hingga akhir demi memenuhi hasrat keluarga.

“Saya tahan, tidak keluar, memang di situ. Bagaimana baunya, apa mereka buat di situ sejak jam 11 pagi hingga jam 7 malam. Sebab kenapa, itulah keinginan ahli keluarga, sebab itu saya di situ. Bagaimanapun, saya hadaplah," katanya.

Sepanjang proses itu jelasnya, turut dilakukan proses penerangan dan sesi soal jawab bersama peguam.

“Ada sesi soal jawab, ada diterangkan dan semuanya ada,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.