Menteri nafi kuota IPTA untuk anak tempatan berkurang, lebih 97 peratus diterima masuk

10 Ogos 2025, 1:00 PM
Menteri nafi kuota IPTA untuk anak tempatan berkurang, lebih 97 peratus diterima masuk

KUALA NERUS, 10 OGOS: Sistem UPUOnline merekodkan sebanyak 511,006 kemasukan bagi program prasiswazah di Universiti Awam (UA) di seluruh negara bagi tahun ini, dengan 497,020 kemasukan atau 97.26 peratus ialah pelajar tempatan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sistem UPUOnline juga merekodkan hanya 13,986 kemasukan pelajar atau 2.74 peratus merupakan bukan warganegara.

Beliau berkata berdasarkan statistik berkenaan, jelas menunjukkan bahawa dakwaan segelintir pihak kononnya kuota pelajar tempatan telah dirampas untuk diberikan kepada pelajar asing adalah tidak benar sama sekali.

“Yang universiti buat ialah, selepas memenuhi kriteria dan keperluan pelajar tempatan, mungkin (pihak universiti) ada ruang sedikit (untuk pelajar asing).

“Hal ini termasuklah soal pengantarabangsaan universiti dan sebagainya supaya universiti itu dapat dinaikkan penarafannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Akademia di Universiti Malaysia Terengganu, di sini hari ini.

Zambry turut menepis dakwaan segelintir pihak kononnya pelajar asing yang datang ke negara ini hanya mengikuti kursus perubatan, yang seterusnya menutup peluang pelajar tempatan.

Beliau juga menyifatkan dakwaan mengatakan pelajar warga asing dikenakan yuran yang lebih rendah berbanding pelajar tempatan, adalah tidak berasas.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata kementerian sedang memantau masalah bekalan air di institusi pendidikan tinggi termasuk di Sabah dan negeri lain.

Katanya, meskipun bekalan air ialah bidang kuasa kerajaan negeri, kementerian akan membantu mencari penyelesaian sekiranya situasi itu menjejaskan operasi institusi.

“Kita akan cari jalan untuk selesaikan, sama ada masalah itu ada kaitan dengan sistem yang ada di universiti, atau bekalan air yang disediakan tidak cukup atau (sengaja) dipolitikkan oleh (pihak) yang berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

TAG: Zambry, universiti, kemasukan, pelajar, sistem

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619