ad

Merusuh ketika perlawanan bola sepak, lima lagi ditahan

10 Ogos 2025, 12:23 PM
Merusuh ketika perlawanan bola sepak, lima lagi ditahan

SHAH ALAM, 10 OGOS: Lima lagi lelaki ditahan polis menjadikan seramai 12 individu ditahan kerana merusuh semasa perlawanan bola sepak di Padang Speedy, Teluk Intan yang video mengenai rusuhan itu turut tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, penahanan lima lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun itu dilakukan petang tadi, dengan permohonan reman terhadap lima mereka akan dibuat pagi esok, lapor portal Berita Harian.

Katanya, tujuh suspek yang ditahan sebelum ini berkaitan kes sama bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini (Ahad).

Katanya, kertas siasatan berhubung penahanan tujuh lelaki terbabit akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam waktu terdekat bagi mendapatkan arahan lanjut.

"Lima lelaki yang sedang dikesan bagi tujuan melengkapkan siasatan, sudah ditahan petang ini berkaitan kes ini dengan reman akan dibuat esok pagi," katanya kepada media petang ini.

Jumaat lalu, Bakri mengesahkan penahanan tujuh lelaki kerana terbabit merusuh semasa perlawanan bola sepak di Padang Speedy pada Khamis lalu, dengan tujuh suspek berkenaan berumur antara 21 hingga 31 tahun direman sehingga hari ini.

Insiden dikatakan berlaku ketika separuh masa kedua perlawanan bola sepak Liga Integriti Hilir Perak 2025 pada petang Khamis membabitkan dua pasukan iaitu Padang Tembak FC dan Jenderata FC.

Insiden kekasaran mula berlaku apabila seorang pemain Padang Tembak FC melakukan takel keras terhadap pemain Jenderata FC yang seterusnya mencetuskan pertelingkahan seterusnya pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.