SHAH ALAM, 10 OGOS: E-sukan bakal dipertandingkan sebagai acara pilihan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, namun Kerajaan Negeri mahu ia diiktiraf secara rasmi dan mempunyai peraturan jelas di peringkat kebangsaan.
EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata pihaknya bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) untuk mendapatkan pengiktirafan rasmi dan membangunkan garis panduan bagi memasukkan e-sukan dalam program sukan sekolah.
“Setakat ini, e-sukan belum ada peraturan khusus untuk dilaksanakan dalam aktiviti kokurikulum di sekolah. Kita sedang menggesa KBS dan Kementerian Pendidikan supaya melaksanakannya.
“Baru-baru ini, kita menganjurkan Selangor Future Cup membabitkan lebih 60 sekolah menengah di negeri ini. Program ini bertujuan mencari bakat baharu yang boleh digilap menjadi atlet mewakili pasukan e-sukan Selangor Red Giant,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Jubli Perak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, di sini hari ini.
Mengulas lokasi acara e-sukan di SUKMA, Najwan berkata venue itu belum diputuskan namun, Pusat Konvensyen MBSA dan Petaling Jaya antara pilihan.
Beliau turut memaklumkan rancangan menukar Hotel Carlton di Seksyen 13 di sini sebagai hab e-sukan kini tertangguh susulan isu pentadbiran dan pemilikan yang sedang diselesaikan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), atau MBI.
“Fokus kita adalah naik taraf kemudahan sukan. Selepas isu MBI dan Hotel Carlton selesai, kita akan susun langkah seterusnya bagi pembangunan hab e-sukan itu,” jelasnya.
Pada 5 Ogos lalu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan e-sukan adalah antara empat acara tambahan dalam SUKMA 2026 selain catur, kriket dan kabaddi.