KBS fokus tambah baik kemudahan sekolah sukan, lahir atlet cemerlang

9 Ogos 2025, 4:33 AM
KBS fokus tambah baik kemudahan sekolah sukan, lahir atlet cemerlang

KUALA TERENGGANU, 9 OGOS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengenal pasti sekolah sukan di seluruh negara yang bakal terlebih dahulu menerima bantuan bagi memperkasa pembangunan di peringkat akar umbi.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa dilakukan bagi menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah sukan termasuk berkaitan kepakaran, kejurulatihan dan fasiliti.

“Contohnya antara sekolah sukan utama di Malaysia, Sekolah Sukan Bukit Jalil yang berkongsi fasiliti dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga aset-aset di bawah Perbadanan Stadium Malaysia.

“Jadi, kita hendak mewujudkan kerjasama lebih erat terutama di sekolah sukan lain selepas ini. Kita bersedia untuk melihat keperluan yang boleh diisi di peringkat KBS,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Jelajah Kayuhan Solidariti ASEAN 2025 di Dataran Batu Buruk di sini hari ini.

Adam Adli berkata meskipun sekolah sukan berada di bawah bidang kuasa KPM, KBS sentiasa memberikan perhatian kepada pembangunan atlet di institusi berkenaan.

Beliau berkata KBS juga mempunyai Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) yang antara lain menyemak tanggungjawab dan bidang kuasa antara KBS dan KPM berkaitan sekolah sukan.

“Jadi, JKPS juga boleh dijadikan sebagai platform untuk kita berbincang dan menyelaras perkara berkaitan. Setakat ini, memang kita sentiasa bekerjasama erat (bersama KPM),” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis berkata kerajaan akan memberi perhatian dari segi keperluan kemudahan di sekolah sukan agar mutu kecemerlangan bakal atlet dapat ditingkatkan.

Anwar berkata perbincangan telah diadakan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bagi memastikan segala bentuk bantuan yang diperlukan dapat disegerakan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619