Komen jelik isu 3R di Facebook, petani didenda RM15,000

8 Ogos 2025, 10:45 AM
Komen jelik isu 3R di Facebook, petani didenda RM15,000

SEPANG, 8 OGOS: Seorang petani didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat dan memulakan hantaran komen jelik berkaitan isu 3R (raja, agama dan kaum) menerusi Facebook miliknya, Februari lepas.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu selepas Mohammad Faisal Mohd Yusof, 37, menukar pengakuan kepada bersalah semasa prosiding sebutan kes hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan Mohammad Faisal dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim menasihati Mohammad Faisal agar lebih berhati-hati kerana kesalahan berkenaan membabitkan isu 3R (raja, agama dan kaum) yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Kamu telah padam komen itu, tetapi tengok apa berlaku sekarang. Komen itu akan sentiasa ada walaupun kamu dah padam. Awak masih muda, perlu berfikir panjang,” kata Ahmad Fuad.

Terdahulu, Mohammad Faisal yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman minimum dengan alasan perlu menanggung tiga anak masih bersekolah serta ibu bapa yang uzur.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Faisal didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan akaun Facebook 'Mohd Faisal Yusof'.

Hantaran tersebut dilakukan pada 12.40 pagi, 9 Feb lepas dan telah dilihat oleh MCMC pada 1.40 tengah hari tarikh yang sama di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619