ad

Demi kejar 'likes', pencipta kandungan sanggup langgar batas etika

8 Ogos 2025, 1:00 PM
Demi kejar 'likes', pencipta kandungan sanggup langgar batas etika

SHAH ALAM, 8 OGOS: Keghairahan pencipta kandungan mengejar jumlah tontonan dan tanda suka di media sosial menyebabkan golongan tersebut sanggup melanggar batas etika.

Pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Hasrul Hashim berkata demi meraih perhatian, pencipta kandungan mengetepikan adab dan pengajaran sekali gus dibimbangi membentuk generasi yang tidak peka terhadap isu senstif.

“Pencipta kandungan lebih tumpukan kepada 'engagement', 'likes' dan perkongsian. Mereka rasa tidak takut melanggar etika kerana menganggap ia perkara normal. Bila netizen marah, mereka muat naik video permohonan maaf, 'engagement' pula meningkat.

"Ini yang membimbangkan dan mereka akan melihat itu sebagai satu model terbaik untuk mereka, apatah lagi mata pencarian mereka adalah berdasarkan 'engagement' tersebut," katanya kepada Media Selangor.

Pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Hasrul Hashim

Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan awal di peringkat sekolah atau universiti bagi membentuk pemikiran generasi muda yang lebih rasional.

“Kita bimbang generasi muda belajar daripada kandungan tular sehingga berisiko membentuk sikap tidak sensitif terhadap isu agama dan perkauman.

"Kita tidak mahu suatu masa nanti berlaku perpecahan perpaduan dalam dunia maya. Jadi apa bezanya pergaduhan di dunia maya dengan pergaduhan secara fizikal?," soalnya.

Beliau menegaskan, isu tersebut memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pencipta kandungan, masyarakat dan sistem kawalan etika media digital

“Yang paling penting, kita perlu mendidik dengan nilai, empati dan tanggungjawab, bukan hanya kemahiran teknikal dan kreativiti semata-mata,” ujarnya.

Hasrul turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan hukuman lebih tegas terhadap pelaku.

“Tapi penguatkuasaan bukan sekadar denda dari segi wang, sebab wang semua orang boleh bayar. Mungkin kita perlu berikan pengajaran yang tegas,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya penggunaan media sosial meningkatkan risiko buli siber kerana mengaburkan garis antara hiburan dan isu sensitif.

"Apabila media sosial wujud, mereka merasakan ada ruang peribadi untuk suarakan sendiri pandangan tanpa melihat kepada elemen dan ilmu lain. Media sosial memberi ruang untuk bersuara, tetapi pandangan perlu disertai ilmu dan sumber sahih, bukan semata-mata emosi,” tambahnya.

Hasrul turut mengingatkan pengguna media sosial agar tidak memberi reaksi kepada kandungan kontroversi atau keterlaluan bagi mengelakkan capaian meluas melalui algoritma, selain menasihatkan pencipta kandungan untuk sentiasa menilai mesej yang ingin disampaikan.

“Selain itu, saya menyarankan institusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang media dan komunikasi untuk menambah elemen etika dan literasi media dalam kurikulum, selain mempertimbangkan pembentukan kod etika khusus untuk media sosial,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.