Malaysia kekal sokong Palestin merdeka tanpa sebarang prasyarat - Mohamad

8 Ogos 2025, 6:08 AM
Malaysia kekal sokong Palestin merdeka tanpa sebarang prasyarat - Mohamad

CYBERJAYA, 8 OGOS: Malaysia kekal menyokong sepenuhnya pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka tanpa sebarang prasyarat, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia kurang selesa dengan Deklarasi New York yang menetapkan prasyarat ke arah mendapatkan sebuah negara Palestin yang merdeka.

"Kita nak supaya sebuah negara Palestin yang merdeka. Dapatkan negara Palestin yang merdeka dulu dan selepas itu, siapa yang mentadbir negara Palestin, itu hak mereka. Kita tak masuk campur," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari ASEAN ke-58 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Mohamad berkata Malaysia kurang selesa dengan deklarasi berkenaan kerana mengandungi prasyarat yang tidak selari dengan pendirian dasar luar.

"Kita (Malaysia) memang dari dulu menyokong Palestin yang merdeka. Tetapi kita kurang selesa dengan Deklarasi New York dengan hasilnya," katanya.

Ditanya sama ada Malaysia akan mengemukakan rasa tidak selesa itu secara rasmi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohamad berkata tiada perbincangan rasmi berhubung dokumen yang dibuat dibuat secara perbincangan meja bulat.

Beliau berkata walaupun 122 negara termasuk Malaysia menyokong usul tersebut di PBB, tetapi proses penyediaan dokumen akhir hanya melibatkan perbincangan meja bulat membabitkan tujuh hingga lapan negara, tanpa penglibatan penuh semua anggota PBB.

Pada 31 Julai lepas, persidangan peringkat tinggi PBB mengenai penyelesaian aman isu Palestin berakhir dengan penerimaan dua dokumen utama iaitu "Seruan New York Call" dan "Deklarasi New York" yang menyokong penyelesaian dua negara.

Namun, kedua-dua dokumen itu gagal menyentuh punca sebenar konflik iaitu pendudukan haram Israel di Palestin.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619