ad

Warisan seni ukiran Mah Meri terus bernyawa di Pulau Carey

9 Ogos 2025, 3:00 AM
Warisan seni ukiran Mah Meri terus bernyawa di Pulau Carey

Di Pulau Carey, seorang lelaki tersenyum sambil memegang topeng unik hasil tangannya sendiri. A Samri Abdul Rahman, salah seorang pengukir Mah Meri yang gigih mempertahankan warisan tradisional masyarakat Orang Asli. Topeng bermata besar dan berambut anyaman nipah itu bukan sekadar objek seni, sebaliknya lambang warisan spiritual dan budaya nenek moyang.

Seni ukiran topeng Mah Meri membawa kisah roh moyang dan simbol kehidupan. Dengan ukiran halus dan ekspresi wajah, setiap topeng memaparkan kisah turun-temurun yang diwariskan secara lisan dan melalui tangan-tangan mahir seperti A Samri. Bahan-bahan semula jadi seperti kayu nyireh batu dan daun nipah digunakan, mencerminkan hubungan erat Mah Meri dengan alam.

A Samri menggunakan pelbagai alat tradisional dan moden dalam kerjanya. Pahat, penukul, pisau ukir dan kikir antara 'teman' yang membentuk serta melicinkan ukiran. Sesetengah ukiran memerlukan kerja teliti dengan alat berbilah kecil untuk membentuk corak halus, terutamanya pada wajah topeng dan patung bersimbolik.

Walaupun ada pengukir beralih kepada mesin moden, anak kelahiran Kuala Langat ini masih setia berkarya menggunakan seni halus tangan demi mengekalkan ‘jiwa’ dalam setiap ukiran.

Jurufoto Khairul Helmy merakam dengan teliti proses penghasilan topeng tradisional yang kekal sebagai 'jiwa' Orang Asli suku kaum Mah Meri di Selangor.

Bengkel Ukiran dan Galeri A. Samri Abdul Rahman di Pulau Carey. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

A. Samri Abdul Rahman mengangkat kayu nyireh batu keluar dari hutan sebagai bahan asas penting dalam penghasilan ukiran Mah Meri yang memerlukan ketahanan dan ketelitian tinggi. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Samri meneliti urat dan tekstur kayu sebelum memulakan ukiran setiap pilihan menentukan jiwa dan cerita pada hasil akhir seni Mah Meri. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Pelbagai jenis peralatan tradisional digunakan oleh A. Samri Abdul Rahman untuk menghasilkan ukiran kayu Mah Meri yang penuh nilai seni dan warisan. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Samri mengetam permukaan kayu bagi menghasilkan asas yang rata sebelum proses ukiran halus dimulakan langkah awal dalam menghidupkan seni Mah Meri. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

A. Samri Abdul Rahman tekun melukis patung tradisional Mah Meri yang sarat dengan simbolik budaya dan spiritual di bengkel seninya. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Pengukir Mah Meri, A. Samri Abdul Rahman menunjukkan buku yang dijadikan tempat rujukan untuk mengukir. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Ukiran “Moyang Harimau Berantai” hasil tangan A. Samri Abdul Rahman memaparkan simbol kekuatan dan perlindungan dalam kepercayaan Mah Meri. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Ukiran patung “Moyang Harimau Berantai” hasil tangan A. Samri Abdul Rahman memaparkan simbol kekuatan dan perlindungan dalam kepercayaan Mah Meri. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

A. Samri Abdul Rahman menunjukkan topeng tradisional Mah Meri hasil ukiran tangannya yang sarat dengan simbolik budaya dan spiritual. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Deretan ukiran kayu Mah Meri menghiasi ruang galeri Samri, mencerminkan kekayaan seni dan warisan turun-temurun masyarakat Orang Asli. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.