ad

Ijmak tabi'in haramkan riba, sistem ekonomi Islam hindari penindasan

8 Ogos 2025, 4:00 AM
Ijmak tabi'in haramkan riba, sistem ekonomi Islam hindari penindasan

Allah mengharamkan riba melalui firman-Nya dalam ayat ke-275 surah al-Baqarah (2);

“Dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Kemudian disebut pula dalam ayat ke-278 sampai ayat 280 surah al-Baqarah (2): 

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah saki-baki riba yang masih ada jika kamu benar-benar beriman. Jika kamu tidak melakukannya, maka isytiharkanlah perang daripada Allah dan Rasul-Nya. 

"Namun jika kamu bertaubat, maka kamu berhak mendapat kembali modal pokok harta kamu; kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi. Dan jika orang yang berhutang itu dalam kesempitan, maka berilah tempoh sehingga dia senang. Tetapi jika kamu menyedekahkan (hutang itu), maka itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” 

Riba yang diketahui wujud pada zaman jahiliah ialah pinjaman yang diberi secara bertangguh dengan tambahan kadar faedah ditetapkan.

Tambahan itu ganti kepada tempoh masa yang diberi. Inilah yang dinamakan riba jali (riba nyata) atau riba al-duyun (riba hutang) atau riba al-nasi’ah (riba bertangguh) dan tidak terdapat khilaf tentang pengharamannya.

Namun, para ulama berbeza pendapat dalam isu riba al-fadl iaitu sejenis riba (faedah atau lebihan yang haram dalam muamalat Islam) yang berlaku dalam pertukaran barang ribawi sejenis secara tidak sama kuantiti atau kualiti walaupun secara tunai. 

Dalam erti kata lain, riba fadhl adalah lebihan atau keuntungan yang diperoleh dalam pertukaran barangan ribawi sejenis yang tidak setara dari segi kuantiti atau kualiti seperti menukar satu kilogram (kg) emas dengan 1.2kg emas walaupun serahan dibuat secara tunai.

Riba fadhl hanya berlaku pada enam barang ribawi iaitu emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam. Ia berasaskan kepada hadis: Ubadah bin as-Samit berkata Rasulullah SAW bersabda:

"Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar dan garam dengan garam — mestilah sama (nilainya), setara dengan setara dan secara tunai. Jika barangan ini berlainan jenis, maka juallah sebagaimana yang kamu kehendaki asalkan dilakukan secara tunai." [Muslim, hadis no: 1587]

Ibn Abbas berpendapat riba yang diharamkan hanyalah riba al-nasi’ah manakala riba al-fadl harus dan tidak haram. Pendapat ini disokong beberapa orang sahabat, antaranya Usamah bin Zaid, Zaid bin Arqam dan Ibn al-Zubayr.

Hindar penindasan

Ibn Qudamah menyebut dalam kitab al-Mughni: Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan para sahabat berkenaan riba al-fadl. Diriwayatkan Ibn Abbas, Usamah bin Zaid, Zaid bin Arqam dan Ibn al-Zubayr berkata: 

“Sesungguhnya riba itu hanyalah pada al-nasi’ah (riba bertangguh) berdasarkan sabda Nabi SAW: ‘Tidak ada riba melainkan pada al-nasi’ah’,” – hadis riwayat al-Bukhari.

Dalam riwayat Muslim pula disebut:

“Sesungguhnya riba itu hanya pada al-nasi’ah.”

Kemudian beliau (Ibn Qudamah) berkata:

Pendapat yang masyhur dalam isu ini adalah pandangan Ibn Abbas. Namun akhirnya beliau menarik balik pandangannya dan kembali kepada pendapat jumhur (kebanyakan ulama).

Dalam hadis ‘Ubadah bin al-Samit yang disepakati kesahihannya (riwayat al-Bukhari dan Muslim), Rasulullah bersabda:

“(Jual beli) emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, dan garam dengan garam hendaklah sama kuantitinya, sepadan dan diserahkan secara tunai. Jika berlainan jenis, maka berjual belilah sebagaimana yang kamu kehendaki asalkan diserahkan secara tunai (tangan ke tangan).”

Dalam riwayat Abu Sa‘id al-Khudri pula, nabi bersabda:

“Sesiapa yang menambah atau meminta tambahan, maka dia melakukan riba; pengambil dan pemberi dalam perkara itu adalah sama (sama-sama berdosa).”

Ketetapan yang tidak boleh dipertikai ialah ijmak para tabi‘in yang sepakat mengharamkan riba al-fadl. Ijmak ini menolak pendapat Ibn Abbas dan lain-lain yang tidak mengharamkannya.

Kesimpulannya, larangan terhadap riba salah satu prinsip asas dalam sistem ekonomi Islam yang bertujuan melindungi keadilan dan menghindari penindasan dalam urusan muamalat. 

Pengharaman riba sama ada riba al-nasi’ah mahupun riba al-fadl ditegaskan melalui nas-nas al-Qur’an, hadis-hadis sahih serta ijmak ulama. 

Walaupun ada khilaf dalam kalangan sahabat terdahulu berkenaan riba al-fadl, pandangan paling kukuh dan diterima pakai jumhur ulama ialah kedua-dua bentuk itu haram secara syarak. 

Setiap Muslim perlu berhati-hati dalam urusan kewangan dan perniagaan agar tidak terjerumus ke dalam amalan riba yang diharamkan Allah dan Rasul-Nya. 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.