Piala Sumbangsih: Selangor FC optimis pemain baharu beri aksi terbaik

7 Ogos 2025, 10:05 AM
Piala Sumbangsih: Selangor FC optimis pemain baharu beri aksi terbaik
Piala Sumbangsih: Selangor FC optimis pemain baharu beri aksi terbaik

ISKANDAR PUTERI, 7 OGOS: Ketua jurulatih Selangor FC Katsuhito Kinoshi optimis pemain import baharu mampu memainkan peranan penting dalam pertembungan Piala Sumbangsih menentang juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam esok.

Meskipun sedar rekod kebal Harimau Selatan di gelanggang sendiri, pengendali dari Jepun itu percaya skuad Red Giants yang kini dibarisi muka baharu mampu tampil tenang dan memperagakan corak permainan terbaik mereka.

Katanya walaupun sebahagian pemain baharu masih belum beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M), pengalaman luas yang dimiliki mampu membantu mereka menyesuaikan diri dengan segera menjelang aksi sulung musim baharu itu.

“Kami menghormati JDT yang sudah lama mendominasi bola sepak tempatan serta memiliki pengalaman di peringkat antarabangsa, namun kami percaya pada kekuatan pasukan kami.

"Saya harap kehadiran pemain baharu ini mampu memberi impak dalam perlawanan esok. Walaupun mereka belum berpengalaman di Liga Malaysia, mereka ialah pemain yang berpengalaman secara keseluruhan.

"Kami juga sudah bersama-sama selama enam hingga tujuh minggu dalam persiapan pramusim, jadi saya percaya kami sudah membentuk sebuah pasukan yang mantap dan bersedia untuk perlawanan esok," katanya pada sidang media praperlawanan, di sini hari ini.

Antara pemain baharu yang memperkuatkan Selangor musim ini ialah Zach Clough, Moses Raj, Willian Lira, Omid Musawi, Chrigor Moraes dan Picha Autra.

Dalam masa sama, Kinoshi turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu tertekan menjelang aksi tumpuan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah itu.

"Fokus dan nikmati permainan. Tapi ‘nikmati’ bukan bermakna ambil mudah. Maksud saya, berikan segalanya, kekal kuat dari segi mental dan tunjukkan kualiti bola sepak kita.

"Itulah yang kami maksudkan dengan ‘menikmati’. Kami mahu main mengikut cara kami di stadium yang indah ini menentang pasukan yang kuat," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619