ad

Henti sebar maklumat tidak tepat kes Zara Qairina atau berdepan tindakan

7 Ogos 2025, 12:08 AM
Henti sebar maklumat tidak tepat kes Zara Qairina atau berdepan tindakan

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa semua pihak menghentikan tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang belum disahkan berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya mengesan penularan maklumat dan gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes Zara Qairina oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

Beliau berkata maklumat yang dikongsi itu adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam selain boleh menjejaskan perjalanan siasatan serta mengganggu proses keadilan kepada pihak terlibat.

"Segala proses siasatan membabitkan kes berkenaan termasuk isu bedah siasat sedang dijalankan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan semua pihak dinasihatkan menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat tidak sahih, termasuk mendedahkan maklumat berkaitan siasatan kes itu," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Mohd Khalid berkata perbuatan mendedahkan maklumat berkaitan kes berkenaan boleh disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 melibatkan larangan mendedahkan maklumat identiti, alamat, nama sekolah dan gambar kanak-kanak yang terlibat serta Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana kesalahan berkaitan pendedahan maklumat.

"Individu terlibat juga boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, pematuhan kepada undang-undang adalah asas kepada keamanan dan kesejahteraan negara.

"Sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan sedia ada,” katanya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lalu.

Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi 16 Julai.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara menyerahkan semula laporan siasatan awal kes itu kepada PDRM untuk dilengkapkan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.