Dua pelajar 13 tahun mengaku bersalah tampar rakan sekelas

6 Ogos 2025, 6:13 AM
Dua pelajar 13 tahun mengaku bersalah tampar rakan sekelas

KAJANG, 6 OGOS: Dua pelajar lelaki berusia 13 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menampar rakan sekelasnya di sebuah pusat beli-belah, hujung bulan lepas.

Kedua-dua pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di Kajang itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Mahkamah menetapkan 18 Sept bagi laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan terhadap kedua-dua remaja itu.

Prosiding hari ini dijalankan secara tertutup kerana mereka adalah pesalah bawah umur dan hadir bersama ibu bapa masing-masing.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama berkelakuan kurang sopan dengan cara menampar mangsa yang juga berusia 13 tahun di tempat awam bagi tujuan mengganggu keamanan di sebuah pusat beli-belah dekat sini, pada 11 pagi, 30 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Ketika ditemui media selepas prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri berkata pihaknya mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Lee Tee Kiat yang mewakili kedua-dua pelajar itu berkata pihaknya merayu supaya mahkamah memberikan jaminan rendah dalam lingkungan RM500 seorang.

"Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin sebelum prosiding jatuh hukum dan pendengaran laporan akhlak pada 18 Sept ini," kata Lee.

Pada 2 Ogos, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan rakan sekelas mangsa yang tidak puas hati dengan cara berkomunikasi dan berinteraksi dengan mereka.

Susulan kejadian itu, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital berhampiran dan disahkan mengalami kecederaan ringan di muka.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619