ad

Dari derita strok, ibu tunggal tempuhi pancaroba buka spa urutan

6 Ogos 2025, 5:00 AM
Dari derita strok, ibu tunggal tempuhi pancaroba buka spa urutan
Dari derita strok, ibu tunggal tempuhi pancaroba buka spa urutan
Dari derita strok, ibu tunggal tempuhi pancaroba buka spa urutan

Diserang angin ahmar (strok) ketika berusia 28 tahun menjadi titik perubahan besar dalam hidup Erwana Juaneh, 49. Ketika itu, doktor tidak mengesan sebarang penyakit serius, hanya stres.

Namun insiden tersebut membuka matanya bahawa kesihatan adalah nikmat tidak ternilai. Beliau kembali pulih selepas setahun, bukan melalui ubat-ubatan tetapi dengan rawatan urutan tradisional.

Bertitik tolak dari pengalaman itu timbul minat untuk mendalami ilmu urutan demi membantu mereka yang senasib. Dalam usaha mencari ilmu, kursus urutan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka pintu rezeki.

Setelah mahir mengurut, beliau mula menawarkan khidmat urutan dari rumah ke rumah. Niat ketika itu mahu membantu suami menyara lima anak mereka.

Namun, badai rumah tangga yang melanda selepas 17 tahun perkahwinan mengubah segalanya. Bercerai dan perlu menyara lima anak sendirian, perkhidmatan urut itu jadi sumber rezeki.

Pengurus D’Wana Spa Beauty and Health Shah Alam Erwana Juaneh ketika ditemui media selangor di premis beliau pada 9 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Dugaan

Segalanya tidak mudah. Erwana hanya mempunyai motosikal sebagai kenderaan untuk keluar mencari rezeki. Panas dan hujan diredah setiap hari ke rumah pelanggan.

Pernah suatu ketika, minyak motosikal habis di tengah jalan hingga terpaksa ditunda pengguna jalan raya. Lebih menyedihkan, motosikalnya tiba-tiba rosak.

"Waktu itu tidak tahu nak minta tolong dengan siapa. Saudara mara pun memang tiada di sini," katanya kepada Media Selangor.

Namun setiap ujian dilalui tidak pernah mematahkan semangat Erwana. Satu demi satu ditempuh dengan sabar. Berkat usaha kerasnya, beliau berjaya membina impian yang suatu ketika dahulu hanyalah angan-angan.

Kini, Erwana berdiri megah sebagai pemilik D’ Wana Spa Beauty and Health di Shah Alam. Premis itu bukan sahaja menawarkan rawatan wajah tetapi juga urutan untuk pesakit strok.

Bantuan

Kejayaan ini tidak hadir sekelip mata. Ketika hidupnya goyah selepas perceraian, Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) menjadi penyelamat.

Bermula dengan pinjaman RM2,000, kemudian meningkat sedikit demi sedikit hingga mencecah lebih RM70,000 secara keseluruhan. Dana itulah membantunya untuk menyewa premis, membeli peralatan dan menambah kemahiran.

Pengurus D’Wana Spa Beauty and Health Shah Alam Erwana Juaneh ketika ditemui media selangor di premis beliau pada 9 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

"Hijrah Selangor banyak membantu. Mereka bukan hanya beri pinjaman tapi juga bimbingan, tanya khabar, beri kursus dan motivasi. Saya rasa sangat dihargai," katanya.

Kini dengan pendapatan kasar mencecah RM19,000 sebulan, kehidupannya berubah. Bukan sahaja memberi keselesaan kepada anak-anak, beliau juga mampu menghantar ibu bapanya menunaikan umrah pada 2023.

Lebih membanggakan, hasil titik peluhnya itu juga membolehkan beliau membeli sebidang tanah di tempat kelahirannya di Beaufort, Sabah.

Erwana terus memperkasakan diri. Beliau kini memiliki Sijil Kemahiran Malaysia dan berkelayakan sebagai Pegawai Latihan Vokasional.

Dengan dua pekerja bawah seliaannya, beliau bersedia melatih lebih ramai wanita yang ingin berdikari. Beliau juga memasang impian untuk melebarkan sayap perniagaannya.

"Nasihat saya, jangan berputus asa. Harus yakin, kuatkan semangat. Insya-Allah, akan ada hasilnya," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.