SHAH ALAM, 6 OGOS: Keputusan untuk melaksanakan Selangor Intelligent Parking (SIP) diambil kerana Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyeragamkan sistem parkir, memastikan pengurusan lebih teratur dan konsisten di semua pihak berkuasa tempatan (PBT), kata Pegawai Utama Rantaian Mesra Sdn Bhd, Mohd Ramali Abu Bakar.
“Kita dapati hasil kutipan PBT hanya sekitar 20 hingga 30 peratus daripada potensi sebenar.
“Dengan pemantauan lebih efisien melalui SIP, kita yakin hasil boleh dimaksimumkan," katanya menerusi Bicara Semasa terbitan Media Selangor siaran 1 Ogos.
Mohd Ramali memaklumkan pihaknya bertanggungjawab menguruskan sistem tersebut manakala syarikat konsesi yang dilantik pula menguruskan operasi penguatkuasaan serta penyelenggaraan tempat letak kereta.
Jelasnya kuasa dan dasar penguatkuasaan adalah di bawah PBT terlibat.
Berikut cara SIP bantu PBT Selangor kutip parkir secara efisien.

Aplikasi Nine: Bayar parkir atau beli barang
SIP dipertingkat dengan aplikasi Nine yang membolehkan pengguna menambah nilai bukan sahaja untuk membayar parkir malah untuk membeli barangan di peniaga berdaftar.
"Kalau baki tidak digunakan, ia boleh dipindahkan ke akaun bank." katanya.
Menurut Mohd Ramali, pendekatan ini mengatasi isu baki kredit ‘terperangkap’ yang berlaku dalam sistem terdahulu.
Motor berkamera kesan parkir haram
Bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, SIP memperkenalkan motosikal peronda dilengkapi kamera pintar.
"Peralatan ini membolehkan peronda mengimbas nombor plat kenderaan secara automatik ketika rondaan.
"Maklumat yang diperoleh akan terus disemak dengan pangkalan data SIP bagi mengetahui status bayaran parkir kenderaan berkenaan." tambahnya.
Jelas beliau, dengan cara ini, penguatkuasaan dapat dilakukan dengan lebih efisien dan sistematik.

CCTV beri amaran bantu cegah kompaun
Teknologi kamera litar tertutup (CCTV) yang mampu memberi amaran kepada pemandu sebelum tindakan kompaun dikenakan turut diperkenal menerusi pelaksanaan sistem ini.
"Langkah ini membolehkan pengguna diberi peluang membayar parkir terlebih dahulu, sekali gus mengurangkan kesalahan dan beban saman.
"CCTV ini dilengkapi sistem pengecaman nombor plat dan pembesar suara untuk memberi arahan secara terus kepada pemandu", kata Mohd Ramali.
Menurutnya, inovasi ini turut digunakan untuk mengesan kes parkir berlapis bagi memastikan aliran trafik lebih lancar di kawasan parkir awam.
"Jika berlaku parkir berlapis, CCTV boleh mengesan nombor plat dan meminta pemilik mengalihkan kenderaan dengan segera," tambahnya.
Ejen e-kupon Selangor Intelligent Parking sedia bantu
Bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat membayar parkir dengan mudah, Kerajaan Negeri melantik ejen e-kupon di lokasi strategik sekitar kawasan pentadbiran PBT.
"Dengan adanya ejen e-kupon ini, golongan yang kurang mahir menggunakan aplikasi dalam talian dapat membuat bayaran kepada ejen.
"Kemudiannya, akan merekodkan bayaran dalam sistem SIP." jelas Mohd Ramali.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan Kerajaan Negeri optimis kutipan hasil tempat letak kereta akan meningkat dalam jangka masa panjang dengan pelaksanaan SIP meskipun terdapat kemungkinan penurunan sementara pada peringkat awal.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata, penurunan kutipan pada fasa permulaan adalah perkara biasa ketika sistem baharu diperkenalkan namun struktur itu diyakini memberi pulangan kepada PBT.
Tiga PBT terlibat pelaksanaan sistem ini iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) masih dalam peringkat perbincangan.