SHAH ALAM, 5 OGOS: Pengumuman cukai pro kesihatan yang diperluas kepada produk tembakau, rokok elektronik (vape) dan alkohol, disambut baik masyarakat.
Orang ramai yang ditemui memuji inisiatif tersebut selain menyifatkan ia langkah terbaik untuk menangani gejala sosial yang semakin membarah.
Pesara, Omar Mohd Zin, 67, berkata sudah tiba masanya kerajaan turut mengambil langkah drastik mengharamkan terus penjualan rokok dan vape yang hanya memberi kemudaratan kepada rakyat.

“Selagi kita beri peluang kepada mereka untuk jual, cadangan saya kalau boleh terus hentikan (penjualan). Sebab implikasinya banyak, kepada kesihatan dan sebagainya.
“Pengguna tidak tahu, pada dia mahu rasa sedap sahaja. Kementerian Kesihatan perlu buat sesuatu. Hentikan dua-dua (rokok dan vape). Saya tidak hisap rokok,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Pelajar, Nurul Syazwani Mohd Zaki, 22, berkata kenaikan cukai tembakau mungkin dapat membantu golongan perokok mengurangkan ketagihan sekali gus berhenti daripada tabiat buruk tersebut.

“Sebab saya ada bapa yang merokok. Kalau kita bagitahu rokok ini bahaya dia tidak mahu dengar. Jadi apabila dijual pada harga tinggi, mungkin mereka rasa perlu berjimat,” kata mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini.
Sementara itu, guru, E Jamunesveri, 54, menyifatkan perluasan cukai pro kesihatan dapat memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya golongan lebih memerlukan.

Guru Matematik itu turut mencadangkan kerajaan mengambil kesempatan mengharamkan terus vape berikutan peningkatan penggunaannya yang membimbangkan dalam kalangan pelajar sekolah.
“Amat digalakkan kerana kenaikan cukai itu kelebihannya duit itu akan disalurkan kepada golongan lebih memerlukan dan rokok itu pun tidak bagus kerana beri banyak penyakit.
“Kalau boleh jangan bagi pelajar kerana banyak pelajar bawa vape ke sekolah. Ia memberi kesan kepada masalah disiplin. Kalau cukai itu dinaikkan lebih tinggi lagi, ia mungkin dapat kurangkan lagi,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) minggu lalu mengumumkan cukai pro kesihatan akan diperluaskan kepada produk tembakau, vape dan alkohol.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sekadar untuk kutipan hasil negara tetapi bagi mendorong perubahan tingkah laku dan membendung peningkatan penyakit tidak menular (NCD) yang kian membimbangkan.
Cukai pro kesihatan sebelum ini hanya dikenakan ke atas minuman bergula, yang mula dikuatkuasa kerajaan sejak enam tahun lalu.