Langgar pokok di UPM, pemandu bas dijel seminggu, denda RM8,000

5 Ogos 2025, 6:37 AM
Langgar pokok di UPM, pemandu bas dijel seminggu, denda RM8,000

SHAH ALAM, 5 OGOS: Seorang pemandu bas dijatuhi hukuman penjara selama seminggu dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas didapati bersalah melanggar pokok di Universiti Putra Malaysia (UPM), sehingga menyebabkan seorang guru dan tiga kanak-kanak cedera.

Mohamad Hamir Masruddin, 44, dikenakan hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Natasya Mohtarudin, lapor Sinar Harian.

Mahkamah juga memerintahkan hukuman penjara bermula pada Selasa, selain menggantung lesen memandunya selama lima tahun. Jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara selama tujuh bulan.

Mohamad Hamir didakwa memandu secara cuai tanpa mengambil kira keadaan jalan dan trafik, menyebabkan risiko kepada orang ramai. Kesalahan itu dilakukan di Jalan Persiaran, UPM pada jam 12.18 tengah hari, 2 Ogos lalu.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh membawa hukuman penjara hingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, serta digantung lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Mohamad Hamir yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman diringankan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan perlu menjaga ibunya yang sakit di kampung.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd Rozi memohon agar hukuman setimpal dikenakan kerana tertuduh memandu secara cuai dan berbahaya sehingga mencederakan empat orang mangsa.

Dalam kejadian pada 2 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad memaklumkan siasatan awal mendapati pemandu bas terbabit dipercayai terlelap sebelum melanggar pokok di lokasi kejadian.

Bas tersebut membawa 30 murid dan lima guru dari Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ampang dan ketika kejadian, sedang dalam perjalanan dari sebuah kilang coklat ke Maeps Serdang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619