SHAH ALAM, 3 OGOS: Sukatan pelajaran (silibus) yang sukar dan tidak mengambil kira tahap penguasaan mendorong segelintir pelajar hillang minat untuk belajar.
Timbalan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia menjelaskan sistem pendidikan negara masih menggunakan silibus sama untuk semua pelajar berbanding kurikulum mengikut keupayaan individu seperti diamalkan negara maju.
Dr Anuar Ahmad menjelaskan kegagalan menguasai membaca, menulis dan mengira (3M) turut menyebabkan pelajar menganggap mata pelajaran seperti matematik dan sains sukar hingga memilih untuk berhenti sekolah.
“Macam mana murid hendak kejar silibus ini sedangkan masih ada gagal kuasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Bila tak faham, pelajaran jadi makin susah. Minat untuk belajar pun mula hilang," katanya.
Perkembangan berkenaan didedahkan sendiri Kementerian Pendidikan yang mengesan lebih 122,000 murid tahun satu seluruh negara masih belum menguasai 3M tahun lalu disebabkan keciciran pembelajaran ketika pandemik Covid-19 dan masalah kemiskinan.
Justeru, Dr Anuar menggesa kementerian menyediakan sukatan pelajaran asas dan rendah kepada pelajar berkeperluan bagi memastikan tiada yang tercicir.
Pada masa sama, beliau turut menyarankan sistem peperiksaan dikekalkan kerana ia penting untuk menilai penguasaan murid secara menyeluruh.
“Kita mesti beri ujian sebab hendak pastikan mereka kuasai pelajaran ataupun tidak. Jika tidak buat, bimbang akan ada kelompongan.
“Tetapi perlu diingat peperiksaan bukan untuk golongan dewasa bangga dengan keputusan. Ia penanda aras untuk kemajuan sistem pendidikan negara,” katanya.