Isu Laut Sulawesi dibincang berlandaskan undang-undang, sejarah

3 Ogos 2025, 6:43 AM
Isu Laut Sulawesi dibincang berlandaskan undang-undang, sejarah

KOTA KINABALU, 3 OGOS: Perbincangan mengenai isu berkaitan Laut Sulawesi antara Malaysia dengan Indonesia dilaksanakan secara menyeluruh berlandaskan undang-undang antarabangsa, fakta sejarah dan mengambil kira persetujuan Sabah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata hubungan baik antara Kuala Lumpur dan Jakarta perlu dipelihara dalam langkah menyelesaikan isu sempadan maritim tersebut, memandangkan Indonesia ialah negara sahabat serumpun sejak sekian lama.

Malah, Anwar berkata Presiden Indonesia Prabowo Subianto juga merupakan sahabat peribadinya, justeru beliau mahu isu itu dibincangkan secara harmoni dan mesra dalam semangat kekeluargaan.

“Kita kena berbincang ikut undang-undang, sejarah dan mesti dipersetujui oleh kerajaan negeri (Sabah) dan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (Sabah). Itu yang kita perlukan dengan syarat rasmi,” kata beliau ketika berucap merasmikan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan timbalannya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Anwar berkata Malaysia telah berjaya menyelesaikan beberapa isu sempadan dengan Indonesia termasuk melibatkan Sarawak, yang kini memudahkan aliran keluar masuk orang ramai serta barangan melalui pelabuhan sempadan.

Beliau berkata dalam menyelesaikan isu sempadan dengan Indonesia, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak perlu terlibat dalam perundingan.

“Ke Indonesia baru-baru ini bersama saya saudara Hajiji dan Abang Jo (Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dalam pertemuan dengan Presiden Prabowo dan jemaah menteri,” kata beliau.

Anwar berkata Petronas dan Pertamina turut menjalin kerjasama dalam proses cari gali minyak melibatkan telaga yang terletak dalam kawasan Malaysia dan Indonesia.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619