Ladang ternakan ayam haram di Jeram diserbu, 10 warga asing ditahan

2 Ogos 2025, 8:46 AM
Ladang ternakan ayam haram di Jeram diserbu, 10 warga asing ditahan
Ladang ternakan ayam haram di Jeram diserbu, 10 warga asing ditahan

SHAH ALAM, 2 OGOS: Sebuah ladang ternakan ayam tanpa lesen di Jalan Batu Bata Off Jalan Raja Abdullah, Jeram diserbu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), kelmarin.

Menerusi kenyataan, MPKS memaklumkan operasi dilakukan susulan aduan penduduk setempat yang sering mengalami gangguan lalat sehingga menjejaskan kehidupan dan keselesaan harian mereka.

“Kehadiran serangga yang membawa penyakit ini bukan sahaja mencetuskan ketidakselesaan malah meningkatkan risiko penularan penyakit bawaan makanan dan persekitaran.

“Satu notis memberhentikan perniagaan dikeluarkan dan operasi ladang tersebut diarahkan ditutup serta-merta selain penyitaan pelbagai peralatan berkaitan operasi ladang turut dilakukan,” katanya di Facebook.

Anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan warga Bangladesh yang bekerja di ladang ternakan ayam tanpa lesen di Jalan Batu Bata Off Jalan Raja Abdullah, Jeram dalam Operasi Bersepadu pada 31 Julai 2025. Foto Facebook MPKS

Susulan itu, Jabatan Kesihatan MPKS mengeluarkan satu kompaun mengikut Seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan membiarkan premis dalam keadaan kotor dan tidak diselenggara dengan baik.

Struktur bangunan juga didapati dibina tanpa kelulusan pelan bangunan yang sah selain pemilik premis gagal mengemukakan permohonan menyebabkan notis dan tawaran kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 121(1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga menahan seramai sepuluh lelaki warga Bangladesh yang bekerja di ladang terbabit tanpa dokumen sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619