ad

Majoriti ubah suai rumah guna kabel tiada SIRIM, berisiko litar pintas

3 Ogos 2025, 1:00 AM
Majoriti ubah suai rumah guna kabel tiada SIRIM, berisiko litar pintas
Majoriti ubah suai rumah guna kabel tiada SIRIM, berisiko litar pintas
Majoriti ubah suai rumah guna kabel tiada SIRIM, berisiko litar pintas

SHAH ALAM, 3 OGOS: Lebih 80 peratus pemilik rumah yang mengubah suai kediaman tidak menggunakan kabel elektrik diperakui Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Ketua Seksyen Pensijilan dan Pemeriksaan Elektrikal & Elektronik SIRIM QAS International berkata pengguna sanggup memilih kabel murah tiada kelulusan sehingga merisikokan rumah terbakar akibat litar pintas.

“Sebab utama berlaku sedemikian kerana tukang pendawai elektrik yang datang ke rumah bagi pilihan, hendak (kabel) yang ada SIRIM atau tidak. Sepatutnya tidak boleh tiada SIRIM, semua mesti ada SIRIM.

“Kenapa murah? Sebabnya konduktor dalam kabel dikurangkan. Arus elektrik yang lalu pada kabel bercop SIRIM, boleh lalu tanpa sekatan. Jadi perkakas arus tinggi tiada masalah.

“Jika kabel kurang konduktor lama-lama akan panas dan kemudiannya akan berlaku ‘short’ (litar pintas). Apa alat elektrik berarus tinggi? Penghawa dingin, mesin air, semuanya arus tinggi,” kata Norazlan Shah Nordin ketika ditemui Media Selangor.

Beliau yang menempelak kegiatan tukang pendawai elektrik yang bertindak sedemikian memaklumkan kabel elektrik antara 34 senarai kelengkapan elektrik memerlukan kelulusan oleh Suruhanjaya Tenaga.

“Tindakan sebegini hanya bagi pandangan bahawa ada SIRIM mahal, yang tak ada murah. Kita patut berfikir rasional kenapa murah dan ada SIRIM mahal?

“Sebab itu selalu dengar kejadian litar pintas berlaku disebabkan pendawaian elektrik di rumah. Ini kerana ramai memilih kebal elektrik tiada label SIRIM,” jelasnya lagi.

Pada 17 Jun 2025, seorang pengarah syarikat di Sabah didenda RM6,000 atau dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda, atas dua pertuduhan berkaitan kabel elektrik.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah mengenakan denda RM2,500 atau penjara enam bulan kerana menyimpan kelengkapan elektrik yang tidak dilabelkan menurut Peraturan 98 Peraturan-Peraturan Elektrik 1994, iaitu 42 unit kabel PVC berpenebat pelbagai jenama dan model, dengan niat untuk menjualnya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didenda RM3,500 atau penjara enam bulan kerana mempamerkan 139 unit kabel PVC berpenebat pelbagai jenama dan model, yang merupakan kelengkapan voltan rendah yang biasanya dijual secara langsung kepada orang awam, tanpa Perakuan Kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga, di tempat dan waktu yang sama.

Mengikut Peraturan 97(1)(b), Peraturan-Peraturan Elektrik 1994, tertakluk kepada Peraturan 97C, 97D, 97E dan 101A, tiada seorang pun boleh mengilang, mengimport, mempamerkan, menjual atau mengiklan apa-apa kelengkapan voltan rendah yang biasanya dijual secara langsung kepada orang awam kecuali kelengkapan itu diluluskan oleh suruhanjaya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.